Terengganu ada peluang curi mata di Stadium Sultan Ibrahim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertembungan “top of the table” antara pendahulu Johor Darul Takzim dan pasukan tangga kedua Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Sabtu merupakan perlawanan tumpuan Liga Super minggu ini.

JDT memburu kemenangan kelima berturut-turut untuk mrngukuhkan cengkaman di puncak tatkala Terengganu FC pula mencari kemenangan ketiga berturut-turut, dan mereka perlu menang supaya jurang tidak semakin jauh.

Bolehkah skuad Nafuzi Zain melakukannya?

Di atas kertas memang sukar menilik apa aspek yang akan menyebelahi Terengganu, pada ketika kelebihan mutlak dilihat milik skuad Harimau Selatan.

Dari lima pasukan yang telah bertandang ke Seri Iskandar pada musim ini, hanya Selangor FC yang berjaya pulang dengan mencuri mata setelah mencatat keputusan seri 1-1 manakala empat pasukan lain Kedah Darul Aman, Penang FC, Melaka United dan PJ City semuanya ‘menepati ramalan’ untuk kecundang.

Jadi dapatkah sang penyu menjadi pasukan kedua pulang tanpa tewas atau mungkin melakukan lebih baik dengan menjadi pasukan pertama menewaskan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu musim ini?

Kelebihan mungkin tidak ada, tapi peluang tetap ada, itulah bolasepak.

Berdasarkan rekod pertemuan dua musim terdahulu, Terengganu tewas 0-1 kepada JDT pada saingan musim lalu yang berlangsung satu pusingan manakala pada 2019 kedua-dua perlawanan berkesudahan seri, 2-2 di Kuala Terengganu dan 3-3 di Larkin.

Kali terakhir Terengganu menewaskan JDT adalah pada dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018, 1-0 menerusi jaringan Malik Mat Arif.

Sementara itu, Nafuzi Zain mengakui hanya kemenangan akan menyediakan peluang terbaik buat pasukannya untuk kekal bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini.

“Kami perlu tingkatkan fokus, dua perlawanan sebelum ini (menentang Terengganu dan KL City) berjalan baik, suasana dalam pasukan juga nampak bagus.

“(Kehebatan) JDT tidak perlu ceritakan lagi, semua orang sudah tahu. Lengkap di semua posisi, jika nak dibandingkan dengan pasukan kami, ia bukan tandingan daripada segi corak permainan dan kualiti pemain mereka.

“Tapi kami mahu catat perkara positif. Kami hanya perlu tenang dan fokus kepada persiapan untuk lawan JDT.

“Kalau main baik, Insya-Allah kami boleh capai (kemenangan),” ujar Nafuzi.

Sebagai rekod, Terengganu memulakan musim 2021 dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Uitm FC, Selangor dan Perak namun mencicirkan mata dalam empat perlawanan berikutnya.

Hanya dalam dua perlawanan terakhir menentang Kedah dan KL City mereka kembali berada di landasan kemenangan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.