Terengganu FC ada peluang cerah julang Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten Terengganu FC Lee Tuck berpendapat pasukan itu mempunyai peluang yang cukup baik untuk menjulang kejuaraan Liga Super 2020, tatkala saingan dijadual bersambung pada September depan secara separuh musim sahaja iaitu baki tujuh perlawanan pusingan pertama.

“Ia akan menjadi satu bulan yang cukup padat. Jadi ia adalah mengenai persiapan dan prestasi yang ditunjukkan dalam sebulan itu. Pasukan yang dapat mengekalkan prestasi di tahap tertinggi akan muncul pemenang, ia akan menjadi satu musim yang sangat menarik kerana sesiapa sahaja boleh memenanginya.

“Ia bukan lagi persoalan mengenai siapa paling hebat, tapi siapa boleh kekalkan prestasi baik dalam satu bulan.

“Jadi saya percaya Terengganu FC sendiri ada peluang cerah untuk melakukannya. Bermula sekarang kita sudah harus tetapkan sasaran untuk menang semua perlawanan. Harapnya tahun ini kami boleh tamatkan musim dengan cemerlang,” kata Lee Tuck yang sudah tiga musim bersama Skuad sang penyu bermula 2018, kepada TheStar Online.

Sebagai rekod pencapaian terbaik Terengganu FC dalam saingan Liga Super adalah muncul naib juara pada tahun 2011 di belakang Kelantan.

Pemain kelahiran England itu menambah, memenangi sekurang-kurangnya satu trofi bersama Terengganu FC musim ini adalah sasaran peribadinya.

“Kita ada Liga Super dan Piala Malaysia untuk diburu, sayangnya Piala FA sudah dibatalkan. Saya akan kecewa jika kita tidak dapat menangi salah satu daripada trofi yang tinggal. Saya telah cuba sedaya termampu untuk menghadiahkan sesuatu kepada diri sendiri dan penyokong Terengganu sejak dua tahun lalu, semoga boleh melakukannya pada tahun ini.

“Seperti saya kata, kita perlu tetapkan sasaran menang semua perlawanan. Coach (Nafuzi Zain) sentiasa mengingatkan agar semua pemain bersedia secara mental dan fizikal untuk musim yang pendek ini.

“Ia adalah satu berita gembira pasukan Liga Malaysia sudah dibenarkan berlatih selepas sekian lama berlatih sendiri, berjoging dan berbasikal. Saya sudah tidak sabar bertemu semula rakan sepasukan, apa yang membuat bolasepak itu menjadi seronok adalah apabila anda dapat berkomunikasi antara satu sama lain,” ujar Lee Tuck.

Foto : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.