Terengganu FC Dijangka Borong Pemain TFC II Bagi Perkuat Cabaran Di Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pembatalan saingan Challenge Cup musim ini dilihat dari sudut positif oleh pengendali Terengganu FC II, Badrul Afzan Razali.

Badrul Afzan percaya kudrat pemainnya tidak akan terhenti sekadar di saingan Liga Premier dan menyifatkan mereka sentiasa bersedia untuk diturunkan membantu pasukan utama bersaing di pentas TM Piala Malaysia 2021.

“Sebelum ini saya pun dah pernah berbincang dengan Nafuzi (Zain) sekiranya Challenge Cup batal, dia memang akan ambil sebahagian pemain TFC II, dan sekarang memang dah sah dibatalkan, jadi saya harap pemain-pemain saya akan dapat tolong skuad utama selepas ini.

“Kalau kita lihat pencapaian pemain-pemain yang pernah dipanggil ke skuad utama, mereka tidak pernah mengecewakan dan Alhamdulillah saya berbangga apabila mereka dapat membantu”, ujar Badrul Afzan.

Antara pemain yang sering dipanggil ke skuad utama terutama apabila tonggak Terengganu FC dihimpit kecederaan adalah pemain import seperti Argzim Redzovic, Jordan Mintah, Dechi Marcel serta pemain tempatan, Hairiey Hakim.

Nafuzi Zain baru-baru ini tidak menolak akan membuat sedikit rombakan terhadap skuadnya untuk menghadapi Piala Malaysia di mana Terengganu FC telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Selangor dan Perak.

Prestasi David Da Silva dan Habib Haroon dalam Liga Super antara yang hangat dipertikaikan penyokong pasukan itu musim ini.

Sementara itu, Badrul Afzan gembira dengan prestasi pasukannya yang kini turut berpeluang muncul juara Liga Premier 2021 selepas menewaskan Kuching City 2-0 pada Jumaat.

Mereka ketika ini di tangga ketiga Liga Premier dan ianya menjadi pertarungan tiga penjuru dengan Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC untuk merebut kejuaraan.

Badrul Afzan berharap aksi bertenaga dapat ditunjukkan dalam perlawanan terakhir menentang Kelantan United FC pada Selasa depan bagi memastikan tiga mata dalam genggaman selain mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United tewas dalam aksi terakhir itu.

“Pemain saya agak bergelut sedikit pada separuh masa pertama dan mereka mula bangkit pada separuh masa kedua di mana corak permainan yang lebih baik dipamerkan pemain untuk mendapat dua gol.

“Jadi, untuk perlawanan terakhir ini macam-macam mana pun kena bagi 100 peratus untuk sekurang-kurangnya kita dapat nombor dua liga, tetapi peluang untuk bergelar juara tetap ada dengan mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United kalah.

“Kalau kita menang dan mereka kalah, perbezaan gol juga memihak kepada TFC II berbanding dengan Negeri Sembilan, tetapi kalau kita dapat nombor dua pun, saya dah bersyukur sebenarnya”, jelasnya.

Negeri Sembilan ketika ini berada di takhta liga dengan 38 mata manakala Sarawak United di tangga kedua dengan 37 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.