Terengganu FC Pertahan Tindakan Beri Surat Tunjuk Sebab Kepada Nafuzi Zain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Susulan pertikaian mengenai surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Nafuzi Zain sebelum perlawanan menentang Johor Darul Takzim baru-baru ini, Terengganu FC tampil memberikan penjelasan agar dapat meredakan pelbagai cerita kurang enak dan kurang tepat ditimbulkan di media sosial.

“Pihak pengurusan ini memandang serius berkenaan perkara ini kerana ianya sengaja digembar gemburkan bagi menjejaskan fokus pasukan ini, terutama dalam membuat persediaan bagi perlawanan terakhir Liga Super dan juga bagi saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Untuk makluman, sepertimana penularan berita berkenaan surat yang diterima oleh Ketua Jurulatih Terengganu FC, pihak pengurusan ini mengesahkan ianya adalah merupakan berita yang benar.

“Namun pihak pengurusan ingin menegaskan dan memohon semua pihak faham, surat tersebut adalah tindakan kerja biasa dibuat secara bertulis yang dilakukan pihak pentadbir kelab kepada pengendali pasukan, bagi mengetahui sebab-sebab kenapa prestasi semasa yang dilihat kurang memuaskan untuk beberapa perlawanan terakhir dan ianya juga merujuk kepada aras pencapaian pasukan yang telah ditetapkan bersama untuk saingan liga musim ini.

“Sebagai pihak pentadbiran kelab, semestinya pihak pengurusan perlu sentiasa tegas dan bertanggungjawab dalam memastikan pihak pentadbiran pasukan sentiasa berusaha untuk berada di landasan betul mengikut target yang telah ditetapkan.

“Perkara ini penting kerana sebagai sebuah kelab bola sepak yang telah diswastakan ia bukan sahaja melibatkan keputusan perlawanan semata-mata, namun ianya merangkumi banyak aspek dan entity seperti kerajaan, para penyokong dan rakan penaja yang semestinya ingin melihatkan keputusan terbaik diterjemahkan.

“Pihak pengurusan ini perlu mendapat maklum balas serta alasan berkenaan prestasi semasa secara bertulis oleh pengendali pasukan, untuk memastikan pihak pengurusan ini tahu permasalahan yang dihadapi sehingga menyebabkan prestasi pasukan yang kurang memuaskan untuk beberapa perlawanan terakhir.

“Ini bagi membolehkan pihak pengurusan dan pasukan mencari jalan mengatasi masalah yang timbul setidak-tidaknya bagi baki satu perlawanan lagi.

“Berkenaan ada berita yang menyatakan pihak pengurusan telah bersetuju untuk merehatkan pengendali pasukan Terengganu FC pada ketika ini dan beliau mungkin akan berkelana ke kelab baru, ianya tidak benar dan dilihat berita yang sengaja direka.

“Ianya juga boleh menjejaskan fokus pasukan ini dan boleh mengakibatkan prestasi dan kedudukan makin merudum dan pihak pentadbiran ini turut bimbang perkara ini juga bakal menjejaskan proses pihak pengurusan dalam kerjasama penajaan dengan rakan-rakan penaja yang berpotensi untuk musim hadapan.

“Kelab bola sepak sememangnya mempunyai kaitan yang rapat diantara pasukan, penyokong dan juga rakan kongsi/ penaja kerana ianya adalah saling berkait dan pihak pengurusan ini sentiasa memandang serius dalam menjaga keharmonian kelab dan ianya juga adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan imej pasukan kesayangan kita untuk terus terjaga baik.”

Demikian menurut Terengganu FC dalam satu kenyataan.

Persoalan kini, siapakah yang bertanggungjawab menyebarkan mengenai pemberian surat tunjuk sebab tersebut dan menyebabkan keadaan menjadi kecoh dalam kalangan penyokong seterusnya menyebabkan keharmonian dalam pasukan nampak terjejas?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.