Terengganu FC terus mengganas, tambah koleksi kejuaraan esports

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC menambah koleksi kejuaraan dalam kejohanan e-sukan anjuran Malaysia Football League (MFL) apabila wakil mereka Muhammad Faiz Hariry atau Favlain muncul juara Kejohanan eMFL selepas mengumpul jumlah mata tertinggi dalam 22 perlawanan secara keseluruhan.

Ia kejuaraan kedua buat Terengganu FC selepas muncul juara Kejohanan ePiala Malaysia – kejohanan sulung anjuran MFL dengan kerjasama Gamesbond eSports Sdn Bhd pada tahun lalu, menerusi wakil mereka Luqman Haziq Hajiman.

Dalam dua perlawanan terakhir yang berlangsung pada Jumaat, Favlain memperoleh satu kemenangan dan satu seri untuk mengumpul 42 mata secara keseluruhan, mengatasi pencabar terdekatnya iaitu Imran Burhanudeen atau Imrandeen (Kedah) dan Luqman Haziq yang mewakili Johor Darul Ta’zim kali ini.

Luqman yang pada mulanya berada di takhta liga nampaknya terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila memperoleh keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir manakala Imrandeen di tempat kedua apabila mencatat satu kemenangan.

Favlain tidak menjangka dapat memenangi kejohanan ini kerana sedar dia tidak bermula dengan agak baik pada awal kejohanan.

Namun, Favlain tetap menyifatkan saingan eMFL ini begitu mencabar untuknya kerana setiap pemain mempamerkan aksi yang sukar dijangka dan sesiapa sahaja mampu untuk melakar kejutan walaupun pemain itu berada di kedudukan tercorot sekali pun.

“Memang saya tak sangka langsung dapat menang kejohanan ini kerana kalau nak ikutkan pasukan yang saya main, tidak sehebat pasukan-pasukan pemain lain.

“Tetapi, apabila saya berjaya untuk berada di kelompok empat terbaik pada pertengahan musim, saya rasa inilah peluang saya untuk terus bekerja keras mengumpul mata sehinggalah ke hari-hari terakhir perlawanan.

“Pencabar-pencabar lain juga cukup sengit dan setiap perlawanan memang bukan mudah untuk saya harungi.

“Saya nak tujukan kejuaraan ini kepada keluarga, rakan-rakan, khususnya penyokong-penyokong Terengganu yang sokong saya sepanjang kejohanan ini dan cukup berbangga dapat bagi kejayaan ini kepada pasukan Terengganu FC”, katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.