Aksi tunggal Liga Super pada Rabu menyaksikan Johor Darul Takzim mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kemenangan kelima berturut-turut menyaksikan JDT terus unggul di persada Liga Super dengan 38 mata, empat mata mengatasi pencabar terdekat Sabah.
Namun malang buat Terengganu apabila kekalahan keenam musim ini menyaksikan pasukan itu tergelincir satu tangga ke tangga keenam, dalam masa sama ia menguntungkan jiran pantai timur mereka, Sri Pahang yang naik ke tangga kelima menerusi perbezaan jaringan.
Sri Pahang terdahulu meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada Selasa, setelah membelasah PJ City dengan jaringan 3-0 di tempat lawan.
Di Gong Badak, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio berdepan detik cemas pada awal permainan apabila tuan rumah melakukan beberapa percubaan ke arah gawang menerusi Kpah Sherman dan Nik Sharif yang dihampakan ketumpulan penyudah.
Penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva kemudiannya hampir membuka tirai jaringan namun rembatannya terkena tiang pada minit ke-29, namun hanya tiga minit selepas itu dia berjaya menebus kehampaan apabila menewaskan Rahadiazli Rahalim untuk JDT mendahului.
Dua minit selepas permainan bersambung di separuh masa kedua, giliran Fernando Forestieri meledak untuk JDT selesa 2-0 di depan. Meskipun pemain gantian, Hakimi Abdullah berjaya mengurangkan defisit empat minit kemudian, ia tidak memadai untuk menghalang JDT meraih tiga mata.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pula dalam final Piala FA, pada tarikh yang belum ditentukan.