Nafuzi Zain

Terengganu Tak Jadi Ambil Jurulatih Import, Kekalkan Khidmat Nafuzi Zain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pihak pengurusan Terengganu FC akhirnya menoktahkan kemelut mengenai siapa yang bakal membimbing pasukan itu musim depan, apabila mengekalkan khidmat Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih.

TFC sebelum ini dilihat ‘keberatan’ mahu menyambung kontrak Nafuzi Zain yang berakhir 30 November lalu atas alasan tidak mencapai KPI membawa pasukan itu layak beraksi di pentas Asia, dan dilaporkan mempertimbang membawa masuk jurulatih import sebagai pengganti.

Beberapa pengendali antaranya Rahmad Dermawan, Nenad Bacina dan Tomislav Steinbruckner telah dikaitkan namun Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC memutuskan tidak menggantikan Nafuzi Zain.

“Melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd hari ini yang telah dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar beberapa perbincangan dan keputusan telah diputuskan berkenaan persediaan pasukan musim hadapan termasuk status ketua jurulatih pasukan Terengganu FC.

“Melalui mesyuarat ini, keputusan bagi mengekalkan pengendali Terengganu FC musim 2021, Nafuzi Zain bagi saingan musim hadapan telah dipersetujui.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira banyak aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 telah dipersiapkan termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan kelab ini bagi saingan musim hadapan.

“Walaubagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada bakal pengendali Terengganu FC itu samada beliau menerima atau menolak tawaran yang diberikan.

“Pihak pentadbiran ini berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengendali Terengganu FC itu disamping mengharapkan prestasi pasukan Terengganu FC akan terus meningkat bertepatan dengan aras pencapaian yang telah ditetapkan bagi musim 2022 dan persiapan rapi pasukan-pasukan Liga Super yang lain,” menurut kenyataan kelab itu.

Untuk tahun ini, Nafuzi Zain membimbing Terengganu FC menduduki tangga keempat Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia, namun tidak diketahui apa pula KPI diletakkan kepadanya untuk musim baru.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.