“Terima hakikat, Safee Sali tak sama macam dulu untuk jadi penyerang utama”

Safee Sali
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kuala Lumpur City kehilangan khidmat penyerang utama Dominique Da Sylva kerana kecederaan menyebabkan mereka bermain tanpa penyerang tulen dalam beberapa perlawanan lalu.

Malah pengendalinya, Bojan Hodak tidak bersedia mengambil risiko memberi peluang kepada bekas kapten kebangsaan Safee Sali untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dominique, di sebalik reputasi gah penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu.

Bojan Hodak tidak melihat Safee Sali sebagai pengganti tepat sebaliknya lebih berminat untuk menukar peranan Paolo Josue dan Romel Morales untuk bertindak sebagai penyerang dalam beberapa perlawanan termasuk ketika menentang Johor Darul Takzim tempoh hari.

“Kami harus menerima hakikat, Safee bukan lagi seperti pemain yang beraksi pada 2012. Dia akan diturunkan mengikut perancangan dan formasi yang bersesuaian,” ujar Bojan Hodak sebagai mempertahankan tindakannya.

Safee Sali kembali menyertai Kuala Lumpur musim ini selepas kira-kira 18 tahun meninggalkan pasukan itu yang pernah diwakilinya ketika awal karier.

Penyerang veteran berusia 37 tahun itu juga pernah bermain di Liga Indonesia bersama Pelita Jaya selama dua musim dan selepas kembali ke Liga Malaysia, Safee Sali bermain selama lima musim bersama JDT dan menjulang Liga Super empat kali.

Sementara itu, Bojan Hodak tidak menolak kemungkinan Dominique Da Sylva akan ditukar pada jendela perpindahan kedua yang sudahpun dibuka, jika keadaan kecederaannya tidak menunjukkan perkembangan positif.

“Saya tidak fikir kami boleh buat banyak perubahan kerana ia bergantung kepada bajet. Tapi saya mungkin perlukan dua atau tiga pemain. Walaupun anda pasukan juara, anda sentiasa memerlukan dua pemain. Saya perlu dua pemain, tetapi ia tetap bergantung kepada bajet,” ujarnya.

Dia juga menerima dengan terbuka keputusan penjaga gol, Zamir Selamat untuk berhijrah meninggalkan pasukan setelah gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan merancang membawa masuk penjaga gol muda.

“Zamir berhijrah ke UiTM secara pinjaman, dia memerlukan masa beraksi dan kami tidak mahu memiliki pemain yang tidak gembira, dia menerima tawaran dan kami membenarkan dia berhijrah,” kata Bojan Hodak.

Sebagai rekod, KL City menamatkan pusingan pertama Liga Super di kedudukan ketujuh dengan 13 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.