‘Terima Kasih Allah, Saya Sudah Temui Semula Prestasi’ – Safawi Rasid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Safawi Rasid mengganas di bumi Singapura, apabila meledak hatrik untuk membantu Malaysia melakar kemenangan kedua dalam saingan Piala AFF 2020 dengan menewaskan Laos 4-0.

Bintang Johor Darul Takzim itu kini mengumpul empat gol dalam dua perlawanan, setelah turut meledak ketika menentang Kemboja pada aksi pembukaan Isnin lalu sekaligus menerajui carta penjaring.

Dalam aksi menentang Laos, Safawi Rasid menjaringkan gol pertama seawal minit ketujuh setelah menerima umpanan Arif Aiman; gol kedua pada minit ke-34 menerusi tandukan juga setelah menerima hantaran Arif Aiman dan kemudiannya menyudahkan hantaran Kogileswaran pada minit ke-80 untuk melengkapkan hatrik.

Manakala satu lagi gol buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe dijaringkan oleh pemain pertahanan, Shahrul Saad pada minit ke-78.

Ia adalah hatrik pertama pemain kelahiran Dungun itu dalam jersi Harimau Malaya, yang sekaligus menyaksikan dia bangkit daripada prestasi hambar sepanjang musim ini.

“Terima kasih kepada Allah. Syukur saya kembali menemui semula prestasi dan saya perlu terus tingkatkan permainan saya untuk aksi berikutnya. Bagi saya sebelum ini saya tak pernah cakap yang saya bintang dan boleh semak temu bual saya sebelum ini. Rakan-rakan sepasukanlah buatkan saya kembali semula,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Safawi kini hanya perlukan satu gol untuk menyamai jumlah jaringan dilakukan Safee Sali ketika dia memenangi kasut emas Piala AFF Suzuki 2010, yang mana turut menyaksikan Malaysia muncul juara buat pertama kali.

Rekod penjaring terbanyak Malaysia di Piala AFF bagaimanapun dipegang oleh Safiq Rahim yang memenangi kasut emas pada 2014 dengan meledak enam gol.

Jika Safawi dapat meneruskan sentuhan cemerlangnya ini dalam baki perlawanan menentang Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember), dia berpeluang cerah melakar sejarah baru buat pemain Malaysia dalam Piala AFF.

Penyokong juga pastinya mula mengharapkan sesuatu yang lebih daripada pemain ini selepas hari cemerlangnya ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.