Terima Kasih Penyokong Kelantan FC Yang Ohsem!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad memberikan kredit kepada penyokong pasukan itu selepas mereka berjaya meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Selangor II pada Ahad.

Kemenangan 1-0 menerusi jaringan Syed Sobri itu adalah yang keempat berturut-turut buat Kelantan FC, dan yang ketujuh dalam saingan Liga Premier 2022, sekaligus membolehkan pasukan digelar The Red Warriors itu melonjak semula ke tangga teratas liga dengan 21 mata.

Mereka mengatasi JDT II yang berada di tangga kedua dengan tiga mata manakala Kelantan United di tangga ketiga dengan 14 mata.

Syed Sobri tidak mahu menganggap dirinya sebagai wira kerana menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium Uitm itu dan menegaskan bahawa dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemain dan paling penting adalah kejayaan mutlak buat Kelantan.

“Sesiapa sahaja yang jaringkan gol, itu tidak penting kerana apa yang lebih utama ialah pasukan mendapatkan kemenangan. Tiga mata ini datang dari usaha keras rakan sepasukan semasa sesi latihan dan segalanya terbalas dengan kemenangan penting malam ini,bukannya usaha saya seorang.

“Apa yang penting, kejayaan ini meletakkan Kelantan bergelar pendahulu dengan kelebihan tiga mata itu pasti menyemarakkan keyakinan pasukan.

“Terima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir pada perlawanan ini dan sentiasa di belakang pasukan, kejayaan ini adalah untuk anda,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Syed Sobri meledak jaringan pada minit-61 melalui rembatan jarak jauh selepas susulan dari bola sepakan percuma Nurshamil Abdul Ghani.

Dua jaringan peribadi yang dilakukan oleh Syed Sobri setakat ini menyamai rekod golnya pada musim lalu bersama Kelantan FC.

Sebagai rekod, Syed Sobri sebelum ini hampir bersara sepenuhnya dari bola sepak selepas tidak mendapat tawaran dari mana-mana pasukan pada awal musim lalu berikutan kelab lamanya, UKM FC telah dibubarkan.

Namun Kelantan FC menerusi di bawah Rezal Zambery Yahya, telah melamarnya pada pintu perpindahan kedua pemain dan seterusnya menjadi lembaran baharu dalam karier baharunya.

Foto kredit : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.