“Terima sahaja kekalahan, tak perlu tuding jari, hari ini hari JDT, itulah bolasepak”

Aidil Sharin
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kedah Darul Aman, Aidil Shahrin Sahak enggan meratapi terlalu lama kekalahan 0-1 pasukannya di tangan Johor Darul Takzim menerusi sepakan penalti minit akhir Bergson Da Silva, pada Selasa.

Sebaliknya dia menerima kekalahan dengan terbuka dan tidak menyalahkan sesiapa di atas kegagalan meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi di Stadium Darul Aman itu.

JDT bimbingan Benjamin Mora dihadiahkan penalti pada masa kecederaan oleh pengadil Razlan Joffri Ali setelah Renan Alves membuat kesilapan menjatuhkan Mohamadou Sumareh dalam usaha mengeluarkan bola.

“Memang mengecewakan untuk tewas jaringan minit akhir, keputusan perlawanan memang mengecewakan tetapi saya gembira dengan apa yang ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit.

“Kalau diikutkan kami ada beberapa peluang pada separuh masa pertama namun tidak bernasib baik dan saya nampak mereka bekerja keras, mencuba sedaya upaya kerana JDT mempunyai pertahanan dan penjaga gol (Farizal Marlias) yang beraksi cemerlang.

“Tapi di babak kedua saya lihat keadaan seimbang buat kedua-dua pasukan di mana tidak banyak serangan bahaya, cuma kami membuat satu kesilapan di hujung perlawanan, hilang sedikit fokus dengan memberikan penalti dan terlepas peluang meraih mata.

“Saya tidak boleh komen mengenai penalti kerana ia jauh dari sudut pandang saya, tapi itulah bola sepak, dan kita perlu terima hakikat ini, tidak perlu menuding jari dan terus pandang ke hadapan, sebelum ini juga kita pernah menewaskan pasukan lain di saat akhir perlawanan dan hari ini JDT pula membunuh kita.

“Apa sekalipun saya percaya pemain-pemain akan bangkit dan yang penting tidak membiarkan kekalahan ini menjejaskan moral”, kata Aidil Shahrin.

KDA berpeluang melonjak ke tangga teratas buat pertama kali musim ini jika berjaya menewaskan JDT yang bertandang ke Darul Aman dengan prestasi goyah dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang terbaik untuk mendahului di separuh masa pertama, tetapi percubaan Rabih Ataya seawal minit keempat terkena tiang pada ketika gawang sudah ternganga manakala percubaan Kpah Sherman pula singgah di palang gol di lewat separuh masa pertama.

JDT sendiri pada hakikatnya tidak mencipta banyak peluang walaupun lebih banyak memegang penguasaan bola dan kemenangan tipis dalam aksi pertama pusingan kedua jelas melegakan Benjamin Mora.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.