Terjawab sebab Hariss Harun tinggalkan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak beberapa hari lalu, tonggak tengah Johor Darul Takzim (JDT) Hariss Harun menimbulkan persoalan ramai mengenai masa depannya di kelab itu yang diwakilinya sejak 2014.

Ini menerusi beberapa posting di facebook peribadinya termasuklah ‘Keputusan telah dibuat, terima kasih JDT’ serta “It’s TIME, NextMove” yang seakan memberi bayangan kuat dia akan meninggalkan skuad Harimau Selatan, selepas membantu mereka menjulang Liga Super kali ketujuh berturut-turut.

Persoalan itu akhirnya terungkai, apabila pemain kelahiran Singapura itu pada Ahad memuatnaik sekeping gambar sedang menandatangani kontrak, yang disusuli sebuah video dengan caption “Deal is done, Coventry here i come (Perjanjian termeterai, Coventry tunggu aku datang)”.

 

Tiada penjelasan lanjut daripada Hariss Harun mahupun JDT mengenai maksud caption tersebut, tetapi tafsiran secara kasar boleh dibuat, pemain berusia 30 tahun itu telah menandatangani kontrak dengan kelab EFL Championship (divisyen kedua bolasepak England), Coventry City.

Jika benar, maka Hariss Harun yang juga kapten pasukan kebangsaan Singapura akan menjadi pemain pertama dari republik itu untuk beraksi di liga divisyen dua England.

Sebagai rekod, Hariss Harun memulakan kariernya bersama pasukan Young Lions yang beraksi di Liga Singapura, di mana dia menjadi pemain termuda untuk membuat penampilan di liga itu pada 2007, pada usia 16 tahun.

Selepas memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan Liga Singapura pada 2010, dia direkrut ke skuad Lions XII yang mengambil bahagian di Liga Malaysia dan cemerlang membantu mereka muncul naib juara Liga Super 2012, kemudiannya juara pada 2013.

Tamat musim 2013 dia cuba dipancing kelab Portugal Rio Ave tetapi dia menolak tawaran tersebut sebaliknya membuat keputusan menyertai JDT.

Selepas tiga musim di mana dia menjulang Liga Super tiga kali, Piala AFC dan Piala FA, dia dipinjamkan ke kelab Sepanyol CE L’Hospitalet tetapi perpindahan tersebut dibatalkan kerana kelab tersebut berdepan masalah cukai dan tidak boleh mendaftarkan pemain baru.

Dia tidak dapat pulang ke Liga Malaysia kerana JDT telah melengkapkan slot import menyebabkannya dipinjamkan ke kelab Singapura Home United, dan kembali memperkuatkan skuad Benjamin Mora pada 2018.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.