Terkilan tak sempat beritahu ayah pasukan mana akan diwakili musim depan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Petaling Jaya (PJ) City, Kogileswaran Raj kehilangan bapa yang juga penyokong nombor satu karier bolasepaknya, Mohana Raj yang meninggal dunia pada Ahad lalu disebabkan serangan angin ahmar.

Menurut pemain muda berusia 22 tahun itu, bapanya mengalami serangan angin ahmar secara tiba-tiba di depan matanya ketika mereka sekeluarga sedang duduk berbual, kira-kira dua minggu lalu.

Apa yang membuatkan Kogileswaran terkilan, dia tidak sempat memberitahu bapanya pasukan mana yang akan diwakilinya pada musim baru Liga Malaysia.

“Sejam sebelum dia meninggal dunia, saya masih ingat dia bertanyakan kepada saya pasukan mana yang saya akan sertai untuk tahun 2021.

“Sebenarnya saya telah membuat keputusan mengenai pasukan mana yang akan disertai dua minggu sebelum itu tetapi saya tidak mahu memberitahunya kerana mahu menunggu secara rasmi dan membawa keluarga saya keluar makan malam.

“Dua hari sebelum saya tandatangani (kontrak), dia diserang angin ahmar, apa yang menyedihkan saya adalah saya tidak sempat memberitahunya pasukan mana yang saya akan sertai,” kata Kogileswaran kepada Nadi Arena.

Kogileswaran Raj kehilangan ayah Terkilan tak sempat beritahu ayah pasukan mana akan diwakili musim depanKogileswaran Raj kehilangan ayah Terkilan tak sempat beritahu ayah pasukan mana akan diwakili musim depan

Tambah penyerang skuad B-23 kebangsaan itu, sokongan daripada bapanya itulah yang memacu kariernya sehingga ke tahap ini malah mendiang tidak pernah sekalipun jemu bertanyakan perkembangannya.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia akan bertanya pada setiap hari perlawanan sama ada dia boleh datang (menonton) atau tidak? Saya kata memang tak boleh tetapi selepas ini, tiada siapa dapat menghalangnya untuk masuk.

“Mungkin bukan sebagai penonton tetapi sebagai pelindung saya di atas padang. Saya sedar saya memerlukan masa untuk mengatasi perasaan sedih tetapi saya pasti saya dapat mengatasinya sebelum musim baru bermula,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Kogileswaran merupakan produk Frenz United dan memulakan karier professionalnya bersama Pahang pada 2016 sebelum memilih untuk berhijrah ke PJ City bagi mencari lebih minit permainan pada akhir musim lalu.

Dia menamatkan saingan Liga Super 2020 dengan 4 gol – berkongsi kedudukan penjaring terbanyak pasukan bersama Washington Brandao – walaupun lebih banyak membuat penampilan sebagai pemain gantian, menyaksikannya digelar supersub Kogi.

Kogileswaran juga pernah beraksi dengan skuad Malaysia B-16, Malaysia B-19 dan anggota skuad B-23 kebangsaan yang beraksi di Sukan SEA 2019.

Labola Malaya mengucapkan salam takziah kepada Kogileswaran sekeluarga, semoga Kogi terus tabah dan diharap kehilangan ini tidak membuatkan Kogi patah semangat sebaliknya tampil menjadi pemain yang lebih baik sepertimana diingini mendiang bapa.

Foto ehsan : Stadium Astro, PJ City Official

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.