Terlalu Ramai Pemain Yang Bagus, Bojan Hodak Sukar Catur Kesebelasan

Bojan Hodak
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika sebelum ini pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak sering kali mengeluh tidak mempunyai barisan pemain simpanan yang cukup berkualiti, berbeza pula ceritanya selepas saingan Liga Super berehat panjang.

Setelah memantapkan pasukan dengan membawa masuk empat pemain baru di jendela perpindahan kedua pada bulan Mei lalu, Bojan Hodak kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk dipertaruhkan sehingga berdepan kesukaran untuk mencatur kesebelasan utama.

“Masalah terbesar saya sejak liga bermula adalah saya hanya ada sekitar 10 pemain terbaik, susah untuk buat rombakan atau penggiliran pemain terutama di barisan pertahanan kerana pemain simpanan tidak menepati tahap yang saya mahukan.

Berita berkaitan : Pemain gantian tak cukup bagus bikin resahkan Bojan Hodak

“Tetapi kini saya ada 18 pemain terbaik untuk dipilih dan ini juga satu masalah, masalah yang positif. Masalah yang positif adalah sesuatu yang bagus. Sebelum ini saya senang buat pilihan kesebelasan, sekarang saya boleh katakan sesi latihan serta perebutan untuk berada di dalam kesebelasan menjadi lebih berkualiti.

“Semua bersaing untuk memenangi kepercayaan, mereka semakin baik, semakin serasi dan ini adalah satu langkah yang baik untuk kelab,” ujar Bojan Hodak.

Bekas pengendali skuad B-19 kebangsaan itu pernah menyatakan kebimbangan terhadap kualiti pemain gantian berikutan tabiat melepaskan gol pada minit-minit akhir permainan – KL City melepaskan gol minit akhir dalam lima daripada 13 perlawanan yang diharungi, dan mereka tercicir mata dalam empat daripada lima perlawanan tersebut.

Sebagai rekod, pemain-pemain baru dibawa masuk KL City yang ketika ini menduduki tangga keenam Liga Super dengan 17 mata adalah J.Partiban dan D.Kenny Palraj dari Perak FC; pemain berdarah kacukan Ryan Lambert serta pemain import Kyrian Nwabueze.

KL City akan turun menentang musuh setempat yang ketika ini berada di tangga kelima Selangor FC dalam aksi pertama Liga Super selepas lebih dua bulan berehat, pada Sabtu ini (24 Julai) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Selepas itu mereka akan bertandang ke Ipoh untuk menentang Perak FC pada 27 Julai, sebelum kembali bermain di tempat sendiri melayan kunjungan Melaka United pada 31 Julai.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.