Jika tidak kerana kesilapan bapa yang juga ejennya, Jorge, hajat Lionel Messi untuk keluar dari Barcelona dan mencari cabaran baru mungkin sudah tertunai.
Demikian pandangan bekas pemain Real Madrid yang kini menjadi pengkritik sukan, Hugo Sanchez.
Messi sebelum ini dilihat begitu hampir untuk meninggalkan Nou Camp selepas menabur bakti selama hampir 17 tahun setelah memberitahu sudah tawar hati untuk terus bersama kelab yang menjulang namanya sebagai Pemain Terbaik Dunia sebanyak 6 kali itu, sepertimana dilaporkan media antarabangsa.
Kelab Liga Perdana Inggeris Manchester City menjadi pilihan untuk menyambar pemain itu, tetapi satu terma di dalam kontrak yang menyebut pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya perlu membayar €700 juta kepada Barcelona membantutkan hasrat Messi, lantas membuatkannya memilih untuk ‘terpaksa’ setia.
Ia jumlah yang tidak mampu dibayar walaupun oleh mana-mana kelab terkaya dunia, dan Hugo Sanchez berpendapat situasi tidak akan menjadi seperti ini jika bapanya tidak membuat kesilapan ketika memeterai kontrak.
“Jika Messi dan bapanya sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Barcelona, mereka tidak perlu menunggu terlalu lama.
“Tetapi sebelum penamat terma itu dalam kontraknya, mereka perlu memberitahu Barca bahawa mereka mahu meninggalkan kelab itu pada penghujung musim secara percuma tanpa membayar sebarang pampasan. Jika mereka mahu merancang, ia sepatutnya seperti itu,” kata Sanchez kepada ESPN.
“Masalah kedua Messi adalah mereka menghantar burofax (permintaan berpindah) tanpa mempunyai jaminan ada pasukan yang sanggup membayar €700 juta, di mana disebabkan pandemik koronavirus, tiada pasukan di dunia yang dapat melaburkan jumlah sebanyak itu,” tambahnya.
Menurut ikon bolasepak Mexico itu lagi, burofax yang tidak kena masa itu memberikan masa kepada Presiden Barcelona untuk melemahkan keputusan Messi.
“Messi tiada pilihan selain kekal di Barcelona kerana saranan yang buruk daripada bapanya dan firma guaman kerana mereka sepatutnya tidak menghantar burofax itu. Ia menyebabkan imejnya menjadi lemah dalam pasukan itu.
“Secara kebetulan, Messi menggunakan peguam yang pernah bekerja dengan Barcelona tetapi disebabkan konflik kepentingan, kelab Catalan itu mengubah strategi.”
Foto kredit : Zimbio