“Tertunggak sebulan setengah jer, itu pun kecoh nak masuk berita dunia”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Kelab Bolasepak Sarawak United Dato’ Posa Majais jelas terkilan dengan tindakan pemain import pasukan itu Sandro Mendonca da Silva mensensasikan isu tunggakan gaji sehingga memberikan imej buruk kepada pasukan itu.

Malah lebih mengecewakan Posa Majais, menurutnya apa yang berlaku hanyalah kelewatan pembayaran gaji selama sebulan setengah, bukannya tertunggak sehingga tiga atau empat bulan seperti didakwa pemain itu.

“Kenapa Sandro perlu (war-warkan) masalah gaji sedangkan tertunggaknya hanya sebulan setengah. Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun.

“Boleh pastikan (tanya) dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini.

“Yang saya kesalkan, apabila kelab lain tahu masalah ini, mereka mula menghasut pemain kami. Mereka sepatutnya cermin diri sendiri dulu, adakah OK atau tidak?” kata Posa Majais kepada Stadium Astro.

Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan peguam Sandro iaitu Zhafri Aminurrashid mendakwa pemain itu tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya dibayar 70 peratus bagi gaji Januari dan Februari, dan langsung tidak dibayar apa-apa bermula bulan Mac.

Malah, Sarawak United juga gagal menjelaskan elaun rumah dan kereta bagi bulan Mac dan April dengan nilai keseluruhan tunggakan gaji serta elaun dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Zhafri menyatakan mereka akan mengheret Sarawak United ke FIFA jika tunggakan gagal dilangsaikan dalam tempoh 15 hari sebelum 22 Mei.

Disebabkan tindakan yang dianggap tidak professional itu, Posa Majais bersedia untuk menyingkirkan Sandro dengan memberitahu dia sudah tidak mahu melihat muka pemain itu.

“Terserah kepada jurulatih (E.Elavarasan) kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi. Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.

“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan, saya sedekahkan sahaja.”

Sebagai rekod, Sandro yang berusia 38 tahun menyertai Sarawak United pada awal musim ini selepas dua musim bermain dengan Selangor.

Sebelum itu dia merupakan tonggak kekuatan pasukan Kedah apabila menyarung jersi Lang Merah selama empat musim dari 2015 – 2018.

Sarawak United ketika ini sedang memimpin carta Liga Premier dan dianggap sebagai pilihan untuk muncul juara.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.