‘Teruk Lagi Tahun Ni Dari Tahun Lepas’ – Luahan Kecewa Pemain Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Apa sebenarnya yang sedang berlaku di kem Kelantan sehinggakan seorang demi seorang pemain bersuara meluahkan kekecewaan?

Selepas Farizal Harun dan Haziq Subri, giliran seorang lagi pemain pasukan itu, Faridzuean Kamaruddin meluahkan rasa kecewa dengan nasib yang dialaminya tahun ini, dipercayai kerana kontrak tidak disambung pihak pengurusan.

Pemain itu menyifatkan apa yang dilaluinya adalah pengalaman paling buruk sepanjang bermain bola.

“Parok tahun ni pada tahun lepas (teruk lagi tahun ni dari tahun lepas), pertama kali main bola (berdepan situasi) seteruk ni. Tak guna langsung perform pun, jeng kreng! Orang yang tak tahu (perkara sebenar) jangan nak sembang macam tahu laa,” ujar Faridzuean berusia 26 tahun itu.

Faridzuean yang berasal dari Kota Bharu menyarung jersi Kelantan buat pertama kali pada 2018 dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada musim sebelumnya, sebelum kembali ke Kelantan pada tahun 2020.

Sebagai rekod, Kelantan FC yang membuat rombakan besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022 setakat ini telah mengumumkan mengekalkan sembilan pemain iaitu Ghaffar Rahman, Nushamil Abdul Ghani, Arip Amiruddin, Mior Dani, Dzulfahmi Hadi, Syed Sobri, Yusri Yushamadi serta dua penjaga gol Asfa Abidin dan Nik Mohd Amin.

Sebelum ini penjaga gol veteran Kelantan, Farizal Harun sebelum ini mengeluh dan menyindir pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bahawa apa yang berlaku adalah tidak sama seperti yang dicanang.

Walaupun dia tidak menulis dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan kenyataan tersebut, penyokong-penyokong Kelantan FC percaya ia ada kena mengena dengan pasukan kesayangan mereka.

“Usah pandai bermain kata-kata, sedangkan apa yang dikata tak sama dengan apa yang dibuat. Mak saya pesan orang yang dizalimi, doanya makbul. Bukan orang musafir sahaja” tulisnya.

Sedar bahawa ia telah viral dalam kalangan penyokong, Zamsaham tidak mengambil masa untuk membalasnya dengan mengatakan : “Ada bekas penjaga gol saya hadiahkan dia RM3,500 sempena kelahiran anak. Ada juga pemain yang nak buat pinjaman kahwin, saya beri tapi tukarkan ia kepada hadiah kahwin. Kena cerita, takut-takut penyokong salah faham, tu yang kena cakap.

“Sedangkan imbuhan hadiah kelahiran anak berjumlah RM3,500 yang tidak ada dalam kontrak pun kami tunaikan inikan pula yang ada dalam kontrak. InshaAllah kami sepastinya akan jaga hak kesemua pemain sebagaimana yang tertulis dalam kontrak.

“Kami bukan nak ungkit jauh lagi nak berbalah, atau melatah. Kami dedahkan sebab pemain ini yang mulakan dan kacau pengurusan TRW. Semoga semuanya selesai baik-baik dan diharap penyokong Kelantan faham isu sebenar.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.