Tewas 5 perlawanan berturut-turut, Yusri Che Lah mahu penyokong buat penilaian adil

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN tewas lagi, kali ini di tangan Negeri Sembilan 0-2 dan ia adalah kekalahan kelima berturut-turut pasukan itu dalam saingan Liga Premier 2021.

Pasukan dibarisi pemain berusia bawah 19 tahun itu sebelum ini telah tewas kepada Terengganu FC II (0-4); Kelantan FC (1-2); Selangor II (2-4) dan PDRM FC (1-3) dan terperosok di kedudukan tercorot Liga Premier tanpa mata.

Di sebalik keputusan buruk itu, pengendali pasukan Yusri Che Lah sekali lagi tampil mempertahankan barisan pemainnya dan gembira melihat mereka berjaya untuk menyukarkan lawan dari meraih kemenangan mudah.

“Mana-mana pasukan yang terperosok tanpa mata selepas lima perlawanan pastinya berdepan tekanan, tapi pemain-pemain ini mentah pengalaman mereka bukannya datang dari Piala Presiden, Belia, Liga Premier atau Super jadi biarlah beri penilaian yang adil kepada mereka.

“Mereka perlukan sokongan, kalau nak majukan bolasepak, perlu sokongan dan pengorbanan bukan hanya dari barisan kejurulatihan, kalau mereka tidak diberikan peluang bagaimana pemain muda ini nak berkembang.

“Dan pada perlawanan ini walaupun tewas, saya lihat ada berlaku perubahan dari segi perjuangan pemain. Kita tahu kita datang ke sini berada di kedudukan dasar liga, jumpa pasukan Negeri Sembilan yang berada di kelompok atas, jadi memang sesuatu yang sukar. Mereka memberi komitmen cukup baik walaupun masih dalam mood peperiksaan.

“Saya puas hati mereka boleh bertahan sehingga minit ke-70, pertama kali kita bertahan (tak bolos) dalam 45 minit pertama. Dalam 4 perlawnaan awal kita cuba buka permainan, kita kena faham jika pemain tidak berpengalaman dihukum jaringan besar dalam setiap perlawanan ia akan memudaratkan semangat juang mereka.

“Jadi kita ubah sikit corak permainan, sungguhpun kita sentiasa diserang tapi kena faham kita datang ke sini, corak macam mana yang dimahukan. Rata-rata pemain menunjukkan sikap positif, andai kita masih bermain secara terbuka mungkin pasukan lawan akan beroleh lagi banyak peluang,” kata Yusri Che Lah.

Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, Negeri Sembilan terpaksa menunggu sehingga ke minit 72 untuk memecah kebuntuan menerusi R.Bharathkumar sebelum Thierry Akono mengesahkan kemenangan pada minit ke-85.

“Strategi bertahan dilakukan pemain Projek FAM-MSN, menyukarkan pemain saya terutama jentera serangan untuk menjaringkan gol.

“Pemain saya sukar menembusi benteng lawan apabila ramai pemain lawan berkumpul dalam kawasan gol, walaupun berjaya mencipta banyak peluang.

“Malah, beberapa keputusan yang dilakukan pemain saya terutama pada babak pertama dilihat kurang tepat, sekali gus usaha mendapatkan gol awal, gagal,” kata pengendali Negeri Sembilan, K.Devan selepas tamat permainan.

Foto : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.