Pemain sayap lincah Faisal Halim akur meneruskan kariernya bersama Terengganu FC musim ini selepas tiada perkembangan lanjut mengenai tawaran beraksi di luar negara.
Beberapa bulan lalu, ejen Faisal Halim memberitahu ada beberapa kelab luar negara berminat dengan kelibatnya setelah dia menyerlah bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan di Jordan.
Faisal Halim juga ada menyatakan berminat mengembangkan karier di luar negara jika mendapat tawaran, tetapi dia mendedahkan sehingga kini tiada sesiapa menghubunginya berhubung perkara itu.
“Jadi saya tidak lagi memikirkannya, sebaliknya fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan TFC meraih sekurang-kurangnya satu trofi dalam kancah Liga Malaysia musim ini.
“Apabila tamat kontrak bersama TFC pada hujung tahun ini, barulah saya memikirkan semula sama ada untuk beraksi bersama kelab di luar negara atau sebaliknya, itupun jika ada tawaran.
“Lagipun tawaran daripada kelab di Portugal tahun lalu saya fikirkan bukan 100 peratus serius, memang ada ejen hubungi saya, tapi bukan ejen kelab berkenaan, lagipun tiada jalan penyelesaian dan kata putus, maknanya pihak berkaitan kelab itu tidak begitu serius untuk mendapatkan khidmat saya.
“Jadi saya rumuskan tiada lagi tawaran untuk saya kembangkan karier di luar negara setakat ini, lagipun dengan TFC saya tidak ada masalah untuk kembangkan karier di sini,” ujarnya kepada Arena Metro.
Tahun lalu, Faisal Halim menjadi salah seorang pemain tempatan paling menyerlah dalam kancah Liga Malaysia apabila meledak 10 gol secara keseluruhan, empat dalam Liga Super dan enam dalam Piala Malaysia.
Ini menyaksikannya berjaya memenangi panggilan ke skuad kebangsaan malah terpilih dalam skuad Piala AFF Suzuki 2020 namun sayangnya hanya sempat beraksi satu perlawanan berikutan positif Covid-19.