“TFC tidak bermain bola, tiada semangat kesukanan dan rosakkan keindahan bolasepak”

Benjamin Mora
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim (JDT) tewas buat pertama kali musim ini, rekod tanpa kalah mereka lebur di tangan Terengganu FC menerusi jaringan tunggal Hakimi Abdullah pada minit ke-56.

Ia juga kekalahan pertama dialami skuad kendalian Benjamin Mora di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, dan kekalahan pertama dalam saingan Liga Super sejak tewas kepada PJ City pada 16 Julai 2019.

Sebaik wisel penamat ditiup pengadil Zulkarnain Zakaria, kekecewaan yang teramat dapat dilihat dengan jelas di wajah Benjamin Mora.

Bagi Benjamin Mora menang kalah itu adat bertanding, tetapi dia tidak menganggap JDT tewas kepada pasukan yang lebih hebat, sebaliknya menyelar Terengganu FC sebagai ‘menang cara kotor’.

“Pasukan lawan akan guna apa sahaja cara untuk menghilangkan momentum JDT dengan sering melambatkan permainan dan membazirkan masa. Pemain lawan mula rebah dengan alasan mengalami kecederaan, bagi saya itu semua tiada semangat kesukanan.

“Mereka tahu sukar tewaskan JDT dan sebaik mendahului kami dan kesempatan itu diguna sepenuhnya untuk menganggu momentum permainan yang kami rancang dan ia merupakan strategi mereka. Cara itu bagi saya merosakkan keindahan permainan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan secara lebih taktikal.

“Ke mana hilangnya semangat kesukanan. Bukan sahaja beraksi dengan kesemua pemain berkampung di kawasan sendiri dan saya akui corak digunakan TFC menyukarkan kami mencipta jaringan tapi rasionalnya biarlah bermain bola sepak dengan permainan terbuka dan bukan jatuhkan badan dan lewatkan permainan,” kata Benjamin Mora selepas perlawanan.

Ini bukan kali pertama Mora berkata demikian, ketika pasukannya seri 2-2 menentang Perak FC pada bulan lalu dia menyuarakan perkara yang sama.

Berita berkaitan : “Rebahkan badan dan buang masa bukan standard saya”, kata Benjamin Mora

Sementara itu, pengendali dari Mexico itu mengakui dua pertukaran awal yang terpaksa dibuat di separuh masa pertama berikutan kecederaan dialami S.Kunanlan dan Mauricio Nascimento turut menjejaskan perancangan taktikalnya, selain kegagalan pemainnya memanfaatkan situasi set-piece.

“Memang ada kelemahan di situ kerana kami tidak begitu kreatif melakukan penyudah apabila meraih sepakan percuma kerana masalah utama adalah kami tidak memliki pemain tinggi. Itu yang kami kena perbaiki dan saya harus berkerja keras bagi memastikan ia tidak berulang.

“Sepanjang perlawanan, kami mengawal hampir 75 peratus dan melakukan purata 700 umpanan. Jadi apa yang berlaku pasukan lawan akan tunggu sedikit kesilapan ketika pemain melakukan umpanan untuk menjaringkan gol. Itu yang terjadi membolehkan TFC jaringkan gol.

“Apapun, kami tewas dan bukan bererti moral pemain saya jatuh, sebaliknya ia adalah motivasi terbaik untuk bangkit dan menoktahkan kekalahan itu dengan permainan yang lebih ampuh kerana kami masih berada di tangga teratas liga,” kata Mora.

Selepas 10 perlawanan JDT masih mendahului saingan Liga Super dengan kelebihan 23 mata, hanya dua mata mengatasi Terengganu FC kendalian Nafuzi Zain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.