Thomas Dooley akur biarpun kecewa, Sri Pahang FC kunci mulut nasib pengendali itu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika ada sebuah pasukan Liga Malaysia yang paling banyak ‘berahsia’ dan sukar mendapat info mengenai perkembangan semasa mereka, ia tidak lain Sri Pahang FC.

Sudah tiga hari sejak Dollah Salleh membimbing Sri Pahang FC mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Melaka United, sehingga sekarang tiada kemaskini atau kenyataan rasmi dibuat pasukan itu mengenai kedudukan sebenar Thomas Dooley.

Tinjauan LabolaMalaya mendapati akaun media sosial pasukan itu hanya aktif pada matchday dan tidak menyediakan sebarang info lain, dengan penyokong setia tok gajah terpaksa mengharapkan maklumat-maklumat dari sumber lain terutamanya media untuk mengetahui perkembangan pasukan.

Media-media tempatan melaporkan pengendali itu direhatkan susulan tewas dua perlawanan pertama tewas kepada Selangor FC dan Perak FC, namun kami mempunyai pandangan berbeza mengenainya kerana tidak mungkin pengurusan membawa masuk seorang jurulatih berpengalaman dari luar negara dan memberikannya KPI dua perlawanan sahaja? Baca : Kerana tewas dua perlawanan atau kerana kelantangan bersuara? 

Penyokong pastinya sedia maklum Thomas Dooley sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang pihak pengurusan apabila mengkritik secara terbuka fasiliti latihan apabila menyamakannya dengan kelab divisyen lapan Jerman selain menganggap pengurusan lambat bertindak di dalam mendapatkan pemain yang dimahukannya sehingga menyebabkan mereka disambar pasukan lain.

Ditanya kepada Thomas Dooley mengenai situasi yang dialaminya ini, pengendali dari Amerika Syarikat itu berkata, “Saya tidak mahu cakap banyak mengenainya, memang saya kecewa dan tidak bersetuju (diperlakukan begini) tetapi saya perlu menghormati keputusan pengurusan. Pandangan saya berbeza dengan mereka yang lain. Buat masa ini, saya tidak dibenarkan terlibat dengan pasukan.”

Cubaan untuk mendapatkan komen dari Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Datuk Suffian Awang juga tidak berjaya manakala Dollah Salleh pula tidak mahu memberi kenyataan mengenai sesuatu yang bukan di bawah urusannya, sebaliknya mahu fokus kepada mempersiapkan pasukan untuk bangkit daripada deretan keputusan mengecewakan.

Ini pastinya menimbulkan tanda soal selama mana Thomas Dooley dan pembantunya Christopher Gamel akan disisihkan, apakah nasibnya, masih adakah sinar untuk dia kembali tetapi berdasarkan sejarah lampau dalam Liga Malaysia, tidak pernah ada mana-mana jurulatih yang direhatkan membuat ‘comeback’.

Sekaligus bermakna, jika bekas kapten pasukan kebangsaan Amerika Syarikat itu dipecat, maka dia menjadi jurulatih pertama disingkirkan dalam saingan Liga Super 2021 malah turut memahat nama dalam buku sejarah sebagai jurulatih yang bertahan hanya untuk dua perlawanan sahaja.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.