Thomas Dooley dan pembantunya akan kendali skuad Piala Presiden Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Teka-teki mengenai kedudukan Thomas Dooley dalam skuad Liga Super Sri Pahang FC akhirnya terjawab apabila pengendali dari Amerika Syarikat itu dilantik sebagai penasihat skuad bawah 21 tahun (Piala Presiden) manakala pembantunya Christopher Gamel pula akan bertindak sebagai ketua jurulatih.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang yang menegaskan kepakaran dua jurulatih import itu masih diperlukan terutama untuk pembangunan pemain muda.

Sebagai rekod, Thomas Dooley dilantik sebagai ketua jurulatih baru Sri Pahang pada Januari lalu tetapi direhatkan selepas hanya dua perlawanan pertama Liga Super 2021.

Meskipun ramai melihat tindakan pihak pengurusan itu adalah kerana Sri Pahang tewas dua perlawanan pertama menentang Selangor FC dan Perak FC namun punca sebenar Thomas Dooley direhatkan dipercayai ada kaitan dengan kritikannya terhadap fasiliti daif pasukan itu yang disamakan dengan kelab Divisyen 8 Jerman, beberapa minggu sebelum musim baru bermula.

Berita berkaitan : Thomas Dooley terkejut tengok fasiliti Sri Pahang, samakan dengan Divisyen 8 Jerman

Malah dia juga seolah kecewa dengan pengurusan pasukan yang lambat bertindak untuk mendapatkan pemain yang dimahukannya, sehingga menyebabkan mereka disambar oleh pasukan lain.

Pengurus pasukan, Dollah Salleh kemudiannya mengambil alih teraju pasukan bermula perlawanan ketiga menentang Melaka United namun selepas lima perlawanan di bawah kendaliannya, Sri Pahang tidaklah menunjukkan peningkatan ketara di mana mereka mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan.

Dengan pasukannya ketika ini bergelut di zon penyingkiran, Dollah Salleh berpendapat perubahan besar perlu dilakukan terutama merombak dan menukar pemain-pemain import yang tidak membawa manfaat kepada pasukan apabila jendela perpindahan kedua dibuka kelak.

Berita berkaitan : “Saya turunkan juga import sebab sudah tak ada pilihan, mereka memang perlu ditukar”

Menurutnya selain Lee Tuck dan Herold Goulon, tiga lagi pemain iaitu Pedro Henrique, Yevhen Bokhashvili dan Mamadou Wague dilihat tidak membawa sebarang impak. Malah ketika aksi menentang Terengganu FC tempoh hari, Pedro Henrique dan Mamadou Wague tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.

Datuk Suffian berkata cadangan tersebut akan dipertimbangkan berdasarkan laporan prestasi daripada barisan kejurulatihan, dan dia juga menambah bahawa Dollah Salleh kini telah dilantik ketua jurulatih tetap manakala Datuk Che Nasir Salleh sebagai pengurus pasukan.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.