Thomas Dooley : ‘Main bola bukan sekadar datang training, balik dan jumpa semula esok hari’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tewas dua perlawanan pertama ternyata bukan permulaan diimpikan mana-mana jurulatih.

Begitu juga dengan Thomas Dooley yang hanya mampu menggeleng kepala dengan permulaan buruk Sri Pahang FC malah pada hakikatnya dia tidak menyangka pasukannya akan menjadi penghuni terawal tangga tercorot.

Ya, selepas dua perlawanan, Sri Pahang FC berada di kedudukan tercorot Liga Super 2021 dengan hanya pasukan itu dan Uitm FC – satu tangga di atas mereka – yang belum mengutip mata berikutan dua kekalahan berturut-turut.

Sri Pahang FC menyepak mula kempen Liga Super 2021 dengan kekalahan 1-3 kepada Selangor FC pada 6 Mac dan kemudiannya tewas 0-2 kepada Perak FC di laman sendiri, Rabu lalu sehingga mengundang kecaman hebat dari penyokong pasukan itu yang kecewa dengan kualiti permainan yang ditunjukkan.

Malah, rata-rata penyokong menyuarakan kebimbangan Sri Pahang FC akan menjadi ‘calon tetap’ di zon penyingkiran jika tiada peningkatan ditunjukkan.

Bagi Thomas Dooley, pemain-pemainnya bukanlah tidak bagus, lantas dia mahu mereka belajar dari kesilapan dan bangkit memenangi perlawanan selepas ini.

“Kalau tanya saya ini bukan yang saya harapkan, saya jangka permulaan yang lebih baik. Saya bagitahu pemain saya gembira dengan semangat melawan mereka, selain satu dua kesilapan, keseluruhannya mereka bermain secara tersusun dan mencipta peluang cuma kekurangan adalah pada sentuhan penyudah.

“Lebih banyak perlawanan-perlawanan yang sukar menanti selepas ini dan ini tidak boleh berulang, kita tidak boleh cicirkan mata lagi. Kita perlu terus pandang ke depan dan percaya akan ada peningkatan. Sri Pahang FC sebuah pasukan yang bagus, hanya dua atau tiga kelemahan perlu diperbetul.

“Saya akan tunjukkan kepada mereka kesilapan-kesilapan sewaktu perlawanan dengan mempertontonkan video, sepertimana biasa saya buat.

“Sebagai pemain professional, anda (pemain) bukan sekadar datang latihan tunjuk muka selama satu jam setengah, balik dan kemudiannya jumpa lagi pada esok hari.

“Anda (pemain) ada tanggungjawab untuk kenalpasti apa kesilapan yang telah dilakukan dalam perlawanan, dan bahagian mana yang anda sepatutnya buat lebih baik. Anda hanya boleh nampak apabila menonton semula video perlawanan.

“Dan benda ini perlu dilakukan juga secara sendiri di rumah, menonton video berkali-kali supaya di masa akan datang kesilapan sama tidak dilakukan, itu cara awak belajar,” kata Thomas Dooley yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Amerika Syarikat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.