Thomas Dooley nafi akan kendali skuad Piala Presiden, sedang cari pasukan lain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Thomas Dooley menafikan bahawa dia akan terbabit dengan pasukan Piala Presiden Sri Pahang sebaliknya mendedahkan sedang mencari pasukan lain untuk meneruskan karier kejurulatihannya.

Pengendali berasal dari Amerika Syarikat itu bersama-sama pembantu jurulatih Christopher Gamel direhatkan selepas hanya dua perlawanan Liga Super musim ini dan tidak pernah ada sebarang kenyataan dibuat Sri Pahang FC berhubung kedudukan mereka.

Sehinggalah Datuk Suffian Awang (Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang) memberitahu Thomas Dooley akan bertindak sebagai penasihat skuad B-21 manakala Christopher Gamel pula sebagai ketua jurulatih kerana kepakaran mereka masih diperlukan untuk pembangunan pemain muda Sri Pahang.

Thomas Dooley bagaimanapun berkata, “Ia tidak tepat, Christopher yang sedang mengemudi pasukan B-21  jadi saya tiada kena mengena malah dengan pasukan utama sekalipun. Saya mencari pekerjaan di seluruh dunia dan ada mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan saya mungkin akan meninggalkan pasukan minggu depan.

“Ada pasukan kebangsaan selain sebuah pasukan di Thailand yang mula bertanyakan perkembangan saya. Ia sesuatu yang lazim dalam memulakan perbincangan, ia bukan sesuatu yang muktamad. Tetapi jika mereka (Pahang) mahu mendapatkan pandangan saya, sebagai rakan mengapa tidak saya berkongsi pandangan?” kata Thomas Dooley kepada Astro Arena.

Mengenai sama ada memang betul faktor kekalahan dalam dua perlawanan pertama menentang Selangor FC dan Perak FC menjadi punca dia dan Christopher Gamel direhatkan atau didorong faktor lain, Thomas Dooley tetap memilih untuk berahsia.

“Kami bermesyuarat dan mereka (pengurusan) memberitahu saya bahawa persembahan dua perlawanan lalu tidak begitu bagus. Jadi saya persoalkan apa yang tidak kena? Tapi kemudian kami dimaklumkan agar menjauhi pasukan.

“Saya menerima mesej dan panggilan daripada pemain yang bertanyakan apakah yang terjadi tapi saya tidak boleh mendedahkannya. Saya tidak mahu campur tangan (lagi) memandangkan pasukan perlu memberi fokus kepada bola sepak,” tambahnya.

Ramai yang percaya bekas kapten skuad Piala Dunia Amerika Syarikat itu sebenarnya dihukum kerana kelantangannya mengkritik fasiliti Sri Pahang FC yang terlalu daif dan menyamakannya dengan kelab divisyen lapan Jerman.

Malah dia juga ada menyuarakan kekecewaan terhadap pengurusan kerana lambat bertindak mendapatkan pemain yang dimahukan sehingga mereka disambar pasukan lain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.