Tiada Guna Lantik Scott O’Donnel Jika Tangan Dia Pun Terikat, Kena Ikut Telunjuk ‘Seseorang’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Adakah Pengarah Teknikal yang baru dilantik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donnel akan diberi kebebasan untuk menjalankan kerjanya, atau dia sekadar akan menjadi boneka dan bekerja mengikut telunjuk ‘seseorang’.

Pemerhati bolasepak, Mohd Sadek Mustafa membangkitkan persoalan itu sambil mengakui politik dalaman adalah cabaran terbesar yang perlu ditangani O’Donnel yang diikat selama tiga tahun oleh FAM dalam usaha membawa reformasi dan memulihkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Saya lihat Harimau Malaya masih dibelenggu politik dalaman, sehinggakan FAM sendiri tidak boleh mengawalnya kerana aspek persediaan dan kaedah permainan bukan halangan utamanya, namun lebih kepada aspek pengurusan individu dan mereka yang mengurus pasukan besar Liga Super dalam melepaskan pemain menyarung jersi kebangsaan.

“Kita tahu terdapat pasukan yang mempunyai kuasa besar menghalang pemain mereka mewakili Harimau Malaya, termasuk mengatur siapa boleh wakili atau tak boleh pergi. Saya rasa isu itu sesuatu yang perlu diuruskan secara bijak oleh O’ Donnel bersama FAM,” katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod O’Donnel merupakan Pengarah Teknikal ketiga FAM dalam tempoh kurang dua tahun selepas Peter De Roo dan Dato’ Ong Kim Swee. Pengunduran kedua-dua mereka meskipun bergaji mewah di FAM membuktikan sememangnya ada sesuatu yang tidak kena.

Malahan Peter De Roo baru-baru ini berkata perlu ada perubahan dalam FAM tatkala mereka perlu menilai kelemahan ketara yang wujud di bawah kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin.

De Roo juga mendedahkan bahawa dia tidak pernah bersetuju dengan pengambilan Guilherme De Paula sebagai pemain naturalisasi sekaligus membuktikan sememangnya ada campur tangan pihak lain di dalam menentukan siapa pemain harus dipanggil ke kem kebangsaan.

“Saya tidak bersetuju dengan pengambilan pemain seperti De Paula yang diserap masuk sebagai pemain naturalisasi, saya kurang minat dengan tindakan mengambilnya bermain dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Justeru itu, Sadek berharap FAM akan membantu dan memberi kerjasama sebaiknya kepada O’Donnel untuk bersama-sama ketua jurulatih yang akan dilantik nanti mempersiapkan skuad terbaik mengikut acuan mereka bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.