Tiada lagi aksi Selangor FC di padang becak, ‘sawah bendang’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selangor FC tidak lagi akan bermain di atas padang yang umpama ‘sawah bendang’ apabila saingan Liga Malaysia kembali bersambung Julai depan, demikian nada positif Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Menurut Johan, kerja-kerja membaik pulih padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) – gelanggang tuan rumah Selangor FC – berjalan lancar dan dia berharap ia dapat membantu pasukan menterjemahkan permainan lebih berkualiti selepas ini.

Padang di Stadium MBBJ yang juga merupakan venue tuan rumah PJ City FC sebelum ini terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat sekaligus menyaksikan kebanyakan pasukan bergelut untuk menterjemahkan permainan sebenar mereka.

Jurulatih Terengganu FC antara yang tidak berpuas hati dengan keadaan padang itu ketika perlawanan antara TFC menentang Selangor pada awal bulan lalu.

Berita berkaitan : ‘Ini kali pertama kita main di padang macam ni’ – Nafuzi Zain

Menurut Johan Kamal, kerjasama dengan pihak MBPJ berjalan lancar ketika ini untuk mereka menaik taraf padang itu termasuklah memperbaiki saluran air yang sering menjadi punca kepada keadaan padang yang becak.

“Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk Selangor FC dengan kerjasama bersama MBPJ menaik taraf padang itu dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.

“Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya.

“Saya percaya selepas ini padang akan lebih berkualiti bagi memberi manfaat kepada semua pasukan selain dapat juga meningkatkan kualiti liga selepas ini”, jelas Johan Kamal.

Dalam perkembangan lain, Johan menjelaskan Selangor FC tidak berdepan masalah untuk turun berlatih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Camp Based Training dan mereka dijangka akan mula berkampung pada minggu hadapan.

Dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL), Johan percaya sesi latihan pasukan tidak akan terjejas apabila telah mendapat kebenaran daripada pihak Kerajaan Malaysia untuk terus berlatih ketika “total lockdown” fasa pertama ini sehingga 14 Jun 2021.

“Kalau tiada halangan, pasukan akan mula berlatih pada minggu hadapan dan mereka akan berkampung di hotel di Shah Alam menerusi Camp-Based Training ini. Bagi saya, selagi kita sentiasa mengikuti setiap SOP yang telah dikeluarkan, tiada masalah akan timbul dan kami akan melakukan yang terbaik supaya dapat elak benda-benda yang tidak diingini.

“Sekarang ini, tidak mengapa tidak dapat adakan aksi persahabatan, yang penting latihan diteruskan dan saya yakin selepas PKP berakhir, perlawanan persahabatan dapat dibuat juga sebelum sepak mula bersambung”, tambahnya.

Seabgai rekod, Selangor FC ketika ini menduduki tangga kelima saingan Liga Super 2021 selepas berakhir 13 perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.