“Tiada masalah tukar warna jersi kepada pink,” kata pemangku Presiden PAFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perak FC diketahui sedang mencari pemilik atau penaja baru susulan masalah kewangan kritikal yang dialami.

Antara yang sedang hangat dikaitkan untuk mengisi posisi itu adalah ahli perniagaan yang juga jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.

Malah, Vida dilihat serius mahu kembali terlibat di dalam bolasepak meskipun pernah melalui pengalaman pahit bersama Kelantan FC pada tahun 2016.

Selain DSV, PAFA juga sedang berbincang dengan beberapa penaja lain yang berminat sambil berharap langkah itu dapat memberikan mereka sokongan kewangan yang konsisten sehingga penghujung musim ini.

Rata-rata penyokong the bos gaurus menyambut baik niat Vida jika beliau serius, namun berharap usahawan itu tidak menukar warna jersi atau stadium kepada merah jambu sepertimana dilakukannya ketika terlibat sebagai penaja Kelantan.

Bagaimanapun lain pandangan Timbalan Presiden PAFA yang juga pemangku Presiden, Datuk Yadzan Mohammad.

“Baru-baru ini saya mendapat tahu tentang Datuk Seri Vida memandangkan ia telah tular di Youtube dan sebagainya tetapi sehingga hari ini masih belum ada sebarang kertas kerja atau surat rasmi daripada DSV bahawa mereka mahu mengadakan perbincangan.

“Sekarang ini, kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat dan orang perseorangan yang mempunyai kelebihan kewangan dan mahu membantu kami tetapi masih belum ada jawapan konkrit.

“Dalam pakej kami, memang sudah jelas mengenai tangga gaji dan perkara-perkara lain yang perlu difikirkan mereka sehingga hujung musim ini. Untuk musim depan akan ada perbincangan lain.

“Menggunakan warna merah jambu tiada masalah tetapi tidak bolehlah hanya warna itu sahaja dan warna kuning hitam putih diketepikan, tidak bolehlah seperti itu.

“Mereka pilihlah satu warna, kalau jersi di laman lawan mahu warna lain tidak mengapa tetapi warna tradisi itu, kuning dan hitam, tidak pernah kami pinggirkan.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang serius (untuk memiliki Perak FC),” katanya dilaporkan Stadium Astro.

Sebagai rekod, masalah tunggakan gaji di kem Perak FC difahamkan telahpun selesai selepas pembayaran untuk bulan April dibuat beberapa hari lalu, namun kelewatan menyelesaikan masalah tersebut menyaksikan pasukan itu telah kehilangan Shahrul Saad, Guilherme De Paula, Kenny Pallraj dan J.Parthiban.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.