Tiada Pemain JDT II Dinaikkan Ke Skuad JDT 2022

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada pemain dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) II akan dinaikkan ke skuad Liga Super JDT bagi musim baru Liga Malaysia, setidak-tidaknya buat masa ini.

Sebaliknya seorang atau dua pemain yang betul-betul menyerlah akan dipilih untuk berlatih dengan skuad kendalian Benjamin Mora itu dan kekal bermain dengan JDT II.

Perkara itu antara yang dimaklumkan pemilik pasukan harimau selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sesi temu mata bersama penyokong JDT pada Rabu lalu.

Ketika ini beberapa pemain dari JDT mahupun JDT II sedang rancak dipancing pasukan lain, malah sudah ada yang sah akan mewakili pasukan baru pada 2022 sama ada secara kekal ataupun pinjaman.

Antaranya adalah Stuart Wilkin dan Irfan Fazail (Sabah) serta Syazwan Andik dan Fadhli Shas (Melaka).

Berbicara tentang pemain yang akan masuk, Tunku Ismail memberitahu senarai rasmi pemain baru untuk musim 2022 belum dimuktamadkan, walaupun mengakui akan ada penambahan pemain import baru.

Menurutnya, adalah sukar untuk mendapatkan seorang lagi pemain seperti Luciano Figueroa apatah lagi mengambil ‘marquee player’ adalah berisiko tinggi, ditambah pula dengan yang berperangai diva.

Tunku Ismail tegaskan falsafah JDT adalah bermain sebagai satu unit, dan adalah lebih baik mengadakan perlawanan amal untuk memberi peluang kepada penyokong menyaksikan kelibat pemain ternama dunia.

Mengenai kemungkinan pemain ternama dunia ke JDT, Tunku Ismail mengatakan pemain sedemikian hanya akan datang bila menerima tawaran yang sangat tinggi selain mungkin memikirkan destinasi terakhir sebelum persaraan di mana lebih lumayan jika dapat pergi ke Amerika, Jepun, China atau Timur Tengah.

Sementara itu, Tunku Ismail juga memberitahu sasaran JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 adalah untuk melepasi peringkat kumpulan walaupun akur bahawa tahap bola sepak ASEAN masih jauh berbanding Asia Timur serta Asia Barat.

Beliau meminta penyokong menilai dengan fakta dan rasional kerana pemain bukannya robot, dan apa yang penting adalah nama JDT sentiasa ada dalam pertandingan kelab terbaik Asia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.