Tiada pemain sebagus Rosdi Talib di bek kiri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Selangor, Khyril Muhymeen Zambri berpendapat belum ada bek kiri setanding Rosdi Talib yang pernah dihadapinya sepanjang hampir 15 tahun beraksi di Liga Malaysia.

Menyifatkannya sebagai pemain bertenaga serta bijak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pemain lawan, Khyril mengakui pengalaman berdepan Rosdi Talib ketika pemain itu mewakili Pahang serta T-Team sebagai pengalaman yang cukup berharga.

“Ketika di awal karier bersama Kedah, memang tiap kali bertembung dengan Rosdi pasti memberi kesukaran kepada saya untuk melepasi kawalannya.

“Dia seorang pemain yang tahu bagaimana hendak masuk melakukan asakan yang betul serta bijak dalam memberikan tekanan kepada pemain lawan.

“Walaupun saya bertemu Rosdi ketika penghujung karier, dia masih antara pertahanan kiri terbaik yang saya pernah hadapi serta menjadi pengalaman paling berharga kerana dapat bertemu pemain berkualiti sepertinya,” kata Khyril.

Rosdi Talib mencipta nama bersama Terengganu dan merupakan antara tonggak membantu sang penyu menjulang Piala Malaysia 2001, sebelum menjulang Liga Super bersama Pahang pada 2004; dia juga merupakan bekas kapten pasukan kebangsaan selain dikenali sebagai pakar sepakan percuma jarak jauh.

Khyril menyenaraikan Rosdi Talib bersama-sama bekas pemain import Kedah, Cornelius Bernard Huggins, Norhafiz Zamani serta S.Kunanlan sebagai pertahanan dalam kesebelasan terbaik pilihannya manakala pemain posisi lain boleh dilihat dalam rajah di bawah.

Line Up Meen Tiada pemain sebagus Rosdi Talib di bek kiri

Dalam pada itu, Khyril mengakui dia sebenarnya antara peminat Akmal Rizal ketika awal pembabitannya bersama skuad Kedah serta menjadikan pemain itu sebagai idolanya.

“Ketika saya berumur 16 ke 17 tahun dan bersama akademi, saya selalu pergi menonton latihan pasukan senior selepas latihan kami tamat dan Akmal sering kali menjadi pemain yang paling mencuri perhatian.

“Dia umpama idola saya pada waktu itu yang menjadikan saya kian bersemangat untuk bermain bola pada waktu itu kerana mahu jadi sepertinya.

“Bagi saya, Akmal seorang penyerang tulen yang sukar dicari jika dilihat pada teknik gelecekan dan kekuatan tendangannya secara keseluruhan.

“Akmal juga seorang tajam menyudahkan peluang di depan pintu gol dan saya rasa dia antara penyerang terbaik yang pernah saya jumpa,” katanya.

Khyril bermain hampir sepuluh musim bersama Kedah bermula dari 2005 hingga 2014 selain pernah mewakili Negeri Sembilan, AirAsia Allstars, PKNS FC dan Perlis sebelum menyertai Selangor pada musim lalu.

Foto kredit : FB Rosdi Talib

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.