Tiada Sesiapa Hubungi Kami Bertanya Tentang Faisal Halim – CEO TFC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kalau betul ada tawaran datang berbincang ikut cara yang betul,” demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh mengenai spekulasi terhadap Faisal Halim.

Pemain sayap bertubuh kecil itu dikatakan telah menarik perhatian dua kelab Eropah susulan aksi lincahnya ketika Malaysia menentang Jordan, berdasarkan pendedahan oleh ejennya dari Estrada Sports Agency.

Berita Berkaitan : Faisal Halim Dalam Radar Kelab Eropah

Menurut ejen tersebut, dia mendapat panggilan daripada ejen luar negara yang mahu tahu tentang kedudukan perihal kontrak Faisal, berapa gaji, klausa dalam kontrak dan lain-lain.

Begitupun memandangkan Faisal Halim masih berkontrak dengan Terengganu FC sehingga November 2022 dan saingan Piala Malaysia juga masih berlangsung, spekulasi seperti ini nyata tidak disenangi pihak kelab.

Menurut Ab Rasid kepada Cakap Sukan, ejen tersebut atau mana-mana individu yang berkenaan sepatutnya berhubung dengan pihak TFC bagi membincangkan tentang tawaran tersebut namun sehingga kini tiada yang berbuat demikian.

“Mereka seharusnya melakukan perbincangan bersama pengurusan TFC memandangkan pemain Harimau Malaya itu masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Penyu.

“Jika terdapat pasukan lain mahu mendapatkan khidmat  Faisal, TFC bersifat terbuka untuk melakukan perbincangan namun pihak berkenaan perlu menghormati segala terma yang terkandung dalam kontrak.

“Pemain itu masih ada kontrak dan majikan. Jika benar ada tawaran, berundinglah mengikut tatacara yang terkandung dalam kontrak,” katanya kepada Cakap Sukan.

Sebagai rekod, Faisal Halim memulakan karier bersama negeri kelahirannya Pulau Pinang sebelum diikat Sri Pahang untuk lima musim pada 2016 dan kemudiannya menyertai Terengganu FC setelah kontraknya berakhir hujung musim lalu.

Berita Berkaitan : “Kalau Bukan Kerana TFC, Saya Takkan Sampai Tahap Ini” – Faisal Halim

Pemain berusia 23 tahun itu dipanggil semula oleh Tan Cheng Hoe bagi kem latihan skuad kebangsaan minggu lalu untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan selepas menonjol bersama Terengganu FC dalam saingan Liga Super di mana dia menjaringkan lima gol.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.