Tidak dapat penuhi permintaan gaji Sanjar, Habib jadi pilihan Terengganu FC

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos -- Pemain Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov (kiri) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang pasukan PKNS FC pada saingan kumpulan A, Piala Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. Separuh masa pertama menyaksikan TFC mendahului PKNS dengan jaringan 2-1. -- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hasrat penyokong Terengganu FC melihat semula kelibat pemain tengah Sanjar Shaakmedov menyarung jersi pasukan itu tidak kesampaian.

Sebelum ini pemain berusia 31 tahun itu dikatakan begitu hampir untuk kembali namun difahamkan pihak pengurusan tidak dapat memenuhi permintaan gaji tinggi pemain dari Uzbekistan itu yang di luar bajet mereka.

Justeru itu, pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroun menjadi pilihan sebagai pengganti, bagi memperkasakan lagi jentera tengah skuad kendalian Nafuzi Zain yang bakal bersaing dalam kempen Piala AFC bermula hujung bulan depan.

Sebagai rekod, pemain berusia 21 tahun itu pernah beraksi bersama penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba ketika menyarung jersi Al Riffa SC dalam Liga Bahrain pada 2019.

Antara sebab pemain yang turut pernah bermain dengan kelab Al Khalidiya SC itu menjadi pilihan Terengganu FC adalah kerana pengalamannya beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia serta Piala AFC musim lalu.

“Pemain itu bakal mengisi kuota pemain import Asia bagi menggantikan Christopher Herd yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang memerlukan pembedahan.

“Jika semua dokumen selesai dan tidak ada sebarang masalah termasuk pemeriksaan kesihatan, Habib akan tiba di Kuala Lumpur minggu depan.

“Bagaimanapun saya jangkakan pemain itu bakal menjalani latihan bersama rakan pasukannya pada bulan depan kerana perlu dikuarantinkan di ibu kota terlebih dahulu,” menurut sumber kepada Arena Metro.

Sebelum ini Terengganu FC turut mendapatkan semula khidmat pemain tengah import Lee Tuck secara pinjaman dari Sri Pahang FC, sekaligus menjadikan barisan tengah mereka bertambah mantap.

Terengganu sejak dari awal musim hanya menggunakan empat pemain import sahaja pada setiap perlawanan susulan kecederaan dialami Petrus Shitembi dan Christopher Herd.

Pasukan dari pantai timur itu ketika ini sedang mencabar secara serius Johor Darul Takzim dalam pemburuan kejuaraan Liga Super – selepas 13 perlawanan, Terengganu FC menduduki tangga kedua, ketinggalan hanya tiga mata di belakang juara tujuh kali itu.

Malah mereka juga menjadi satu-satunya pasukan menewaskan skuad harimau selatan musim ini, yang sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan JDT dalam Liga Super.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.