Tidak mungkin Luqman Hakim sampai ke tahap ini, jika bukan kerana Cikgu Rosnani

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang muda pasukan kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin mengakui pembabitannya dalam bolasepak tidak mungkin berkembang sampai ke tahap sekarang jika bukan kerana peranan besar cikgu di sekolah rendahnya, Sekolah Kebangsaan Ismail Petra (SKIP).

“Bagi saya bermain bola ni hanya satu hobi, sekadar suka-suka, petang-petang bermain bola di Padang Kompleks Sekolah (Wakaf Mek Zainab) memang tak pernah fikir akan sampai ke tahap sekarang.

“Ia bermula dari cikgu sekolah rendah saya di SKIP, Cikgu Rosnani yang nampak bakat saya boleh main bola, bagi dorongan untuk pergi jauh, bawa saya pergi pemilihan,” ujar pemain kelahiran Kelantan itu dalam satu temuramah bersama Dunia Bola.

Selepas SKIP, Luqman Hakim kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sri Petaling II di Kuala Lumpur dan direkrut ke dalam Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) pada 2014 sebelum diserap pula ke Akademi Mokhtar Dahari di Gambang pada 2015.

Namanya mula meletup selepas menjaringkan empat gol ketika aksi sulung Kelayakan AFC B16 pada 2018 apabila menjaringkan empat gol ketika menentang Tajikistan dan menambah satu lagi jaringan ketika menentang Thailand sebelum dilayangkan kad merah.

Walaupun hanya beraksi dua perlawanan, Luqman Hakim muncul penjaring terbanyak bersama kejohanan dengan lima gol dan selepas itu terus menyerlah dalam beberapa pertandingan peringkat umur termasuklah Kejuaraan AFF B-19 2019 di mana dia menjaringkan 4 gol untuk membantu Malaysia melangkah ke final.

Dia kemudiannya turut disenaraikan Dato’ Ong Kim Swee dalam skuad Sukan Sea 2019, beraksi satu perlawanan dalam kesebelasan utama.

Pemain itu telah menyertai Selangor II selepas perancangan untuk mengikat kontrak bersama kelab Belgium KV Kortrijk pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Luqman Hakim bagaimanapun dijangka akan menyertai kelab milik Tan Sri Vincent Tan itu pada bulan depan selepas segala urusan dokumentasi selesai.

Pemain berusia 18 tahun itu telah menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa antaranya diiktiraf sebagai 50 wonderkid terbaik dunia dalam senarai NxGn 2020 Goal manakala baru-baru ini tersenarai sebagai 80 calon untuk Anugerah Golden Boy 2020.

Foto : Yakult/Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.