Tidak perlu menjadi seorang muslim untuk menyumbang kepada Masjid, siapapun boleh melakukannya dan itulah yang dibuktikan bekas jaguh badminton tanah air Datuk Lee Chong Wei.
Chong Wei menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan kelengkapan kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala, dan perkara itu dikongsikan di facebook rasmi masjid itu.
“Terima kasih Datuk Lee Chong Wei atas sumbangan kepada MAHSP di kala suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.
“Terima kasih juga kepada Ustaz Khairul Anam, Pentadbiran Masjid Saidina Umar Al-Khattab dan warga kariah Bukit Damansara menjadi penghubung kepada MAHSP.
“Semoga kebaikan yang sebenar-benarnya kebaikan milik kita bersama selama-lamanya. Amin,” demikian perkongsian status di Facebook MAHSP.
Jelas, ia merupakan satu teladan yang cukup baik dan mulia oleh bekas pemain nombor satu dunia itu, dan sewajarnya menjadi ikutan kita semua.
Chong Wei merupakan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio De Janeiro 2016, selain pernah menduduki ranking nombor satu dunia selama 9 tahun.
Beliau menoktahkan karier pada tahun lalu kerana masalah kesihatan.
Foto : Masjid Al Hidayah Kg Sungai Penchala