Kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustafa bahawa Simon Elissetche terburu-buru dan membuat kesilapan di dalam mengambil tindakan undang-undang ke atas pasukan KL United, ditepis peguam pemain itu Zhafri Aminurashid.
Isu membabitkan kedua-dua pihak dibawa ke pengetahuan umum, selepas Simon Elissetche memfailkan tuntutan RM3.5 juta ke atas KL United dan mengheret pasukan itu ke FIFA kerana bukan sahaja membatalkan kontraknya tanpa sebab munasabah, dalam masa sama mereka memburukkan imejnya dengan mengatakan lesen kejurulatihannya adalah tidak diiktiraf.
Nokman kemudiannya berkata Simon Elissetche sepatutnya datang berbincang terlebih dahulu, malah menurutnya Simon tidak pernah ditawarkan untuk menjadi ketua jurulatih pasukan KL United yang kini digalas Bojan Hodak, kerana kontrak yang ditandatangani adalah bersama KLFA.
Tetapi Zhafri menegaskan, itu tidak menjadi satu isu dan KL United juga perlu bertanggungjawab apatah lagi tertulis dengan jelas dalam kontrak bahawa ia adalah kontrak ketua jurulatih Liga Super 2021.
“Walaupun KLFA yang tandatangan (kontrak), selepas KLFA dikatakan sudah menyerahkan lesen kepada KL United, ia tetap membawa kesan sama dan liabiliti yang ditanggung semua dibawa bersama juga. Jadi tak ada isu yang (pihak) ini tidak tandatangan sebab mereka sudah dikira entiti yang sama.
“Dalam kontrak yang dia tandatangan itu .. pertama, kontrak untuk ketua jurulatih. Kedua, kontrak itu adalah ketua jurulatih Liga Super 2021 dan untuk dia (Nokman) bagi kenyataan menyatakan sebaliknya, bagi saya itu juga tidak tepat dari segi perundangan,” kata Zhafri kepada BH Sukan.
Zhafri bagaimanapun memberitahu Simon bersedia membuka pintu rundingan bagi menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.
“Apa yang Simon buat adalah untuk membersihkan nama dia. Kita akan teruskan dengan dua tindakan yang kita cakapkan itu. Tapi kalau KLFA dan KL united nak selesaikan masalah ini, kita buka ruang untuk perbincangan,” tambahnya.
Dua tindakan yang dimaksudkan adalah tindakan sivil ke atas KL United berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya bimbang lesen kejurulatihannya tidak sah.
Manakala tindakan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya perlanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani tetapi dibatalkan atas sebab yang hanya diketahui oleh KL United.