Tindakan PBNP gantung Sumareh disifatkan pelik dan tidak berasas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengenakan hukuman gantung dua tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak ke atas Mohamadou Sumareh disifatkan sebagai keputusan yang pelik dan tidak berasas.

Peguam Undang-Undang Sukan, Zhafri Aminurashid berkata PBNP hanya boleh mengambil tindakan tersebut dengan menggunapakai Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia bagi liga domestik di bawah seliaan mereka sahaja (contohnya Liga Kuantan, Liga Pahang).

“Sekarang ini Sumareh tidak bermain di dalam Liga Pahang, dia bermain di Thailand, jadi PBNP tidak boleh menjatuhkan hukuman itu, hukuman itu tidak berasas.

“Apa yang dilakukan oleh PBNP itu tidak betul dan ‘ultra vires’ di mana mereka membuat sesuatu di luar bidang kuasa PBNP dan mereka juga tidak ada kuasa untuk meminta FAM untuk menguatkuasakan hukuman itu.

“Untuk kes penggantungan, hanya badan induk kebangsaan iaitu FAM dan badan induk antarabangsa iaitu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sahaja ada kuasa,” kata Zhafri kepada BH Sukan.

PBNP pada Selasa memaklumkan hukuman yang dikenakan ke atas bekas pemain sayap mereka itu dibuat selepas Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu mendapati dia bersalah dalam kesemua empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Empat pertuduhan yang dikenakan ke atas pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu adalah membuat kenyataan media tanpa kebenaran PBNP; merujuk isu berhubung kontraknya terus kepada FIFA tanpa melalui FAM terlebih dahulu; tidak hadir ke sesi latihan dari 3 ke 28 Ogos 2020; dan tidak hadir ke perlawanan di antara Pahang menentang JDT pada 28 Ogos 2020.

Malah PBNP juga menekankan bahawa Sumareh telah diberi notis sebanyak dua kali untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan seterusnya membela diri tetapi dia tidak memberi sebarang respon.

Sebagai rekod, Sumareh menghilangkan diri dari kem latihan Pahang sejak 3 Ogos dan perkara itu hanya didedahkan Dollah Salleh kepada media pada 27 Ogos, iaitu sehari sebelum saingan Liga Super bersambung semula selepas lima bulan ditangguhkan.

Beberapa hari selepas kecoh mengenai kehilangannya, Sumareh memberitahu dia telah membuat keputusan membatalkan kontraknya dengan Pahang secara sebelah pihak dengan mengaktifkan klausa 8.7, difahamkan kerana isu tunggakan gaji tetapi ia dinafikan Presiden PBNP Tengku Muda Pahang.

Dia kemudiannya menyertai kelab Toyota Thai League, Police Tero FC dengan kontrak pendek selama enam bulan sehingga hujung tahun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.