Apa kriteria dinilai seorang jurulatih apabila memanggil pemain untuk memperkuatkan skuad kebangsaan? Ia bukan persoalan sejak sehari dua, ataupun sejak Kim Pan-gon memegang jawatan ketua jurulatih, tetapi sudah lama dibangkitkan terutamanya ketika era Tan Cheng Hoe.
Bukan sahaja penyokong, tetapi pemerhati dan penganalisis bolasepak, sudah lama bercakap mengenainya apabila terlalu ramai pemain yang tiada minit permainan dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya, entah apa yang dinilai terhadap pemain yang tidak pernah beraksi ini, bagaimana mereka memikat perhatian jurulatih?
Jika dulu menyarung jersi negara adalah satu kebanggaan, hanya yang betul-betul layak sahaja boleh menyarungnya, kini ia boleh disarung sesiapa sahaja, ibarat satu penghinaan kepada jersi itu sendiri.
Malangnya ada juga yang tidak faham dengan erti penghormatan dan kebanggaan jersi tersebut, dan mempertahankan tindakan jurulatih ini dengan alasan “tahulah dia buat kerja dia, takpayahlah kita menyibuk kerja jurulatih” dan sebagainya. Mereka tidak kisah jersi negara disarung pemain yang tidak layak!
Baru-baru ini, pemilik JDT sendiri, iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) ada mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut. Dalam satu komen ringkas di instagram, baginda menulis :
“Ingatkan foreign coach lain, rupanya 2×5. Satu minit tak main pun masuk list. Asal JDT main tak main semua dia nak angkut,” tulis TMJ.
Di dalam senarai terbaru Kim Pan-gon, pemain yang langsung tiada minit permainan musim ini adalah Guilherme De Paula, dia tidak langsung beraksi sama ada dengan JDT mahupun JDT II. Penyenaraian namanya ke kem latihan Harimau Malaya itu sendiri menimbulkan pelbagai pertikaian, dan dijangka akan digugurkan setelah gagal menyerlah di perlawanan persahabatan.
Namun mengejutkan Kim Pan-gon memilih untuk menyingkirkan Kogileswaran Raj yang sedang meningkat naik manakala De Paula pula tersenarai setelah berjaya menambat hati Pan-gon sepanjang kem latihan.
Pemain lain yang kurang minit permainan tetapi sentiasa dipanggil adalah Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba, manakala Syafiq Ahmad pula hanya mendapat minit permainan musim ini setelah dipinjamkan ke Kedah. Kesemua mereka tersenarai dalam senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu.