TMJ berpendapat ia tidak sepatutnya penalti namun gembira raih satu mata

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim (JDT) hampir sahaja dihadiahkan kekalahan pertama dalam saingan Liga Super selepas 17 perlawanan, tetapi sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez pada masa kecederaan berjaya mengikat Perak FC 2-2 sekaligus memastikan rekod kebal mereka masih belum dapat diusik.

Kali terakhir JDT tewas dalam saingan Liga Super adalah pada 16 Julai 2019, 0-1 di tangan PJ City di laman sendiri di Stadium Larkin.

Perak FC begitu hampir mengulanginya apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Guilherme De Paula namun skuad harimau selatan menterjemahkan kebangkitan menerusi Akhyar Rashid (m-75) serta penalti yang dihadiahkan setelah pengadil mendakwa ia terkena tangan Rafiuddin Rodin.

Bagi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau berpuas hati untuk membawa pulang satu mata tetapi merasakan ia tidak sepatutnya penalti dalam masa sama memberitahu secara sinikal bahawa pengadil terlepas lebih banyak insiden di dalam perlawanan itu.

Komen Tunku Ismail vs Perak TMJ berpendapat ia tidak sepatutnya penalti namun gembira raih satu mata

Komen Tunku Ismail vs Perak 2 TMJ berpendapat ia tidak sepatutnya penalti namun gembira raih satu mata

“Saya rasa penalti minit akhir itu bukan penalti, tapi di separuh masa pertama (insiden) Bergson dan Arif Aiman ya (sepatutnya penalti), selamat berjaya kepada Perak dalam perlawanan seterusnya,” komen Tunku Ismail dalam satu posting di instagram.

Manakala dalam posting berbeza di officialjohor, Tunku Ismail menyatakan, “Pengadil bagi 1 sahaja penalti, sepatutnya 11 penalti. Dua penalti (sepatutnya JDT dapat) separuh masa pertama Bergson (Da Silva) dan Arif Aiman tetapi pengadil tak tiup (wisel). Ini tidak adil. Haha.

“Satu mata pun jadilah, Perak main bagus, penjaga gol mereka pun bagus. JDT main bagus separuh masa kedua, tahniah kepada Perak dan tahniah kepada JDT. Perlawanan seterusnya (pengadil) sila bagi tujuh penalti.”

Insiden membabitkan pengadil sememangnya hangat diperkatakan sejak musim baru bermula, dengan dua pengadil sudahpun diambil tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

Tunku Ismail juga berpendapat sudah tiba masanya Liga Malaysia mengimplementasikan penggunaan VAR (video bantuan pengadil) sepertimana liga negara luar.

Kegagalan mengutip mata penuh bagaimanapun tidak merubah kedudukan JDT selaku pendahulu saingan Liga Super 2021 memandangkan pencabar terdekat mereka, Terengganu FC mengalami kekalahan mengejut 1-2 di tangan Sabah FC di Likas.

Ini menyaksikan skuad Benjamin Mora menerajui liga dengan kelebihan satu mata tatkala saingan liga berhenti rehat kira-kira dua minggu untuk memberi laluan kepada kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.