TMJ bertanggungjawab pujuk, yakinkan Dion Cools sertai Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menurutnya telah memainkan peranan penting untuk memujuk pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools untuk menyertai Harimau Malaya.

FAM secara rasminya telah mengumumkan Dion Cools sebagai pemain ke-26 skuad kebangsaan bagi mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula pada 3 Jun ini.

“Junjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” kata Stuart Ramalingam.

Mengulas lebih lanjut, Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas Dion Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

“Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium. Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia.

“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA) dan setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA. Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya,” menurut Stuart Ramalingam.

Sebagai rekod, Dion Cools ketika ini beraksi dengan kelab Denmark, FC Midtjylland dan berpengalaman bermain di pentas Liga Juara-Juara Eropah, posisi utamanya adalah pertahanan kanan, dan boleh bermain juga di pertahanan kiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.