Terengganu FC gagal menyekat Johor Darul Takzim (JDT) daripada meneruskan rentak kemenangan apabila kecundang kepada pendahulu Liga Super itu 0-1 pada Jumaat.
Gol tunggal penyerang sensasi Safawi Rasid berikutan kesilapan pada awal permainan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, dalam pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ia menyaksikan skuad Benjamin Mora memimpin carta Liga Super dengan 19 mata, lapan mata mengatasi pasukan tangga kedua Perak.
Begitupun apa yang lebih menjadi tumpuan ketika pertembungan Terengganu FC-JDT adalah kualiti pengadilan buruk oleh pengadil Wan Tarmizi Wan Ibrahim, termasuk tidak memberikan penalti kepada Terengganu FC dalam dua insiden berasingan.
Yang pertama ketika Rahmat Makasuf ditarik pemain pertahanan JDT Lave’re Corbin Ong di dalam kotak penalti manakala yang kedua Dominique Da Sylva dikasari Natxo Insa.
Selain itu, Wan Tarmizi juga tidak melayangkan kad merah kepada Dominique Da Sylva meskipun dia mengasari Natxo Insa dengan menendang dada pemain itu, sebaliknya hanya melayangkan kad kuning kepadanya.
Ia mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan pengadil tidak mengawal perlawanan dengan baik.
“Tahniah Terengganu FC, masa depan yang baik buat Terengganu FC. Sikap profesionalisme yang tinggi oleh kapten dan potensi yang tinggi oleh pemain-pemain muda.
“Bukan mudah untuk kami JDT, pengadil teruk dan tidak mengawal perlawanan dengan baik. Sepatutnya satu atau dua penalti buat Terengganu dan kad merah buat penyerang Terengganu FC yang melakukan tackle tinggi.
“Apa pun, game sudah tamat. Tahniah kepada kedua-dua pasukan. Padang dan stadium first class. Tahniah dan terima kasih.”
Ironinya, Wan Tarmizi adalah pengadil sama yang pernah cedera di bahagian mata selepas ditumbuk ketika berada di pintu masuk Hotel Seri Malaysia pada 19 Ogos 2014 selepas tamat perlawanan JDT bertemu pasukan ATM.
Sewajarnya MFL hanya menugaskan pengadil-pengadil berkualiti tinggi dan tidak pernah terlibat kontroversi untuk perlawanan-perlawanan berprofil tinggi Liga Malaysia demi memastikan kelancaran perlawanan.
Foto : Terengganu Football Club