TMJ mahu bawa Dion Cools ke JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan secara terbuka hasratnya untuk menyambar khidmat pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Johan Dion Cools untuk memperkuatkan pasukan itu di masa akan datang.

Menurut Tunku Ismail, Dion Cools merupakan pemain di kelas yang berbeza dan beliau sudah lama merancang untuk membawa masuk pemain yang kini bermain dengan FC Midtjylland itu.

“Tetapi itu terpulang kepada pemain tersebut (Dion Cools). Buat masa ini beliau masih muda dan lebih baik bermain di peringkat tertinggi Eropah seberapa lama yang beliau mampu,” ujar Tunku Ismail sebagai menjawab soalan dikemukakan salah seorang penyokong kepadanya di instagram.

TMJ Dion Cools TMJ mahu bawa Dion Cools ke JDT

Dion Cools yang pernah mewakili pasukan bawah umur Belgium membuat kejutan apabila memilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat senior di sebalik cuba mengejar peluang memenangi tempat dalam skuad senior Belgium, sekaligus bermakna dia kehilangan peluang untuk bermain bersama pasukan di kedudukan nombor satu dunia itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia ketika mengumumkan Dion Cools sebagai rekrut terbaru skuad Harimau Malaya pada Selasa lalu, memberitahu Tunku Ismail adalah watak penting yang berjaya memujuk dan meyakinkan pemain itu mengambil keputusan besar tersebut.

Pemain berusia 24 tahun yang boleh bermain sebagai pertahanan kanan, kiri dan tengah itu dihadiahkan kap sulung bersama Harimau Malaya dalam kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, Tunku Ismail berpendapat kekalahan Malaysia kepada UAE disebabkan kerana terlalu banyak kesilapan individu dan tiada game plan, selain mengakui UAE bukannya calang-calang pasukan mengambil kira kedudukan mereka di ranking ke-73 dunia.

Beliau juga bersetuju penyerang baru JDT, Guilherme De Paula beraksi teruk namun tidak mahu pemain itu menjadi sasaran kecaman.

“Semalam (lawan UAE) dia bermain tidak bagus, tapi masa perlawanan persahabatan dia skor. Semua pemain ada ketika beraksi baik dan ada ketika bermain teruk. Mereka manusia biasa tetapi perlu sentiasa bekerja keras dan meningkatkan prestasi. Menjadi lebih konsisten,” ujarnya.

Guilherme De Paula diselar penyokong setelah gagal memberikan impak, malah dilihat bermain tidak sepenuh jiwa, selain lebih banyak berjalan ketika kehilangan bola tanpa ada kesungguhan mahu memberi tekanan kepada pertahanan lawan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.