TMJ Sudah Maafkan, Tapi Khalid Ali Tetap Marah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Walaupun Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah memaafkan Safiq Rahim dan move on, bekas pemain kebangsaan Khalid Ali pula tetap mengkritik tindakan pemain tengah itu.

Menurut Khalid Ali, insiden Safiq menanduk kepala Faisal Halim dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim dan Terengganu FC pada Jumaat lalu, sepatutnya tidak berlaku.

Kegagalan Safiq Rahim mengawal emosi ketika itu, menyaksikannya dilayangkan kad merah oleh pengadil Nazmi Nasaruddin dan JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk hampir 80 minit perlawanan.

Ini sekaligus menyaksikan tiada kelibat pemain berusia 34 tahun itu dalam aksi final Piala Malaysia antara JDT dan KL City pada Selasa ini.

“Tindakan menanduk Faisal tidak sepatutnya dilakukan oleh Safiq apatah lagi pada ketika itu JDT sedang selesa mendahului 3-0 dan hampir pasti melangkah ke final Piala Malaysia.

“Safiq sebagai bekas kapten pasukan negara, dia seorang pemain yang berpengalaman. Tetapi mungkin atas faktor usia yang semakin lanjut dan mungkin kerana kepenatan, dia boleh bertindak sebegitu rupa.

“Lagi pun, bola sepak sekarang laju dan mungkin dia penat. Namun bagi saya, tindakan itu sememangnya tidak wajar dilakukannya. Sekarang siapa yang rugi apabila tidak boleh bermain pada perlawanan akhir?,” ujar Khalid Ali kepada Sukan Sinar.

Terdahulu, pemilik pasukan selatan tanah air itu, Tunku Ismail berkata Safiq Rahim kesal dengan tindakannya dan telahpun meminta maaf daripada keseluruhan pasukan.

“Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, kita tidak sempurna.

“Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua pemain, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan dan itu sahaja. Perkara ini sudah berakhir dan kita lupakannya,” tulis Tunku Mahkota Johor itu dalam twitternya.

Meskipun tanpa Safiq Rahim dalam aksi final nanti, JDT dijangka tidak bermasalah untuk mencari pengganti dengan Leandro Velazquez akan kembali ke dalam kesebelasan utama, malah mereka juga ada kelibat pemain lain seperti Nazmi Faiz dan Afiq Fazail.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.