Tokyo 2020 : Zolkples Hairan Gagal Pun Masih Ada Yang Berpuas Hati?

Olimpik Tokyo 2020
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) hairan masih ada pihak yang berpuas hati dan menganggap pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai membanggakan meskipun kontijen negara gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Kementerian Belia dan Sukan menerusi Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mensasarkan Malaysia memenangi tiga pingat termasuk satu emas di Tokyo 2020, tetapi pada akhirnya hanya satu perak dan satu gangsa yang dibawa pulang.

Pingat perak dimenangi Datuk Azizulhasni Awang manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang gangsa tatkala sukan terjun yang menjadi sandaran utama menyumbang pingat pulang dengan tangan kosong.

Ia menyamai pencapaian di London 2012, tetapi jauh lebih teruk berbanding lima tahun lalu di Rio De Janeiro, di mana ketika itu kita pulang dengan empat pingat perak dan satu gangsa.

Dan Zolkples menekankan kegagalan mencapai sasaran ini adalah yang keempat berturut-turut buat kontijen negara di temasya sukan utama bermula Sukan Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel di Australia pada 2018 serta Sukan SEA di Filipina pada 2019.

“Secara umumnya memang kita tidak mencapai sasaran di sebalik sasaran yang saya anggap berani kali ini kerana kita mengharapkan untuk memenangi pingat emas pertama.

“Tapi masih ada yang menyatakan berpuas hati dengan pencapaian di Tokyo 2020 yang mana ia menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada saya sahaja. Jangan lupa ini adalah kegagalan kali keempat untuk mencapai sasaran.

“Jadi sesuatu perlu dilakukan dan kita tidak boleh melakukan perkara atau pendekatan yang sama lagi tetapi mengharapkan perubahan yang besar. Saya mengharapkan Menteri (Belia dan Sukan) dapat putuskan apa yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya dilaporkan Arena Metro.

Sebelum ini, Reezal Merican memberitahu pencapaian di Tokyo 2020 adalah seimbang dan memuaskan mengambil kira para atlet bertanding dalam keadaan menghadapi pelbagai cabaran kerana Covid-19 dalam masa sama menegaskan tiada atlet yang boleh dikatakan datang untuk ‘makan angin’.

Sebagai rekod, ketika di temasya Sukan Asia dan Komanwel 2018, kontijen negara memenangi tujuh emas tetapi gagal untuk menamatkan kempen di kedudukan 10 negara terbaik seperti disasarkan.

Manakala lebih malang di Sukan SEA 2019, sasaran 70 pingat emas jauh tersasar apabila Malaysia pulang dengan 56 emas sahaja.

Di Tokyo 2020 yang menutup tirainya pada Ahad, badminton dan terjun pada hakikatnya dijangka akan menjadi lubuk pingat buat kontijen negara.

Lee Zii Jia yang dianggap prospek emas kecundang di pusingan kedua kepada Chen Long manakala beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang meletak sasaran mara ke final pula kandas seawal peringkat kumpulan.

Pencapaian terbaik sukan terjun pula adalah menerusi Nur Dhabitah Sabri yang begitu hampir untuk mencipta kejutan menghadiahkan gangsa namun pada akhirnya terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.

Penerjun lain termasuk Pandelela Renong, Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee semuanya gagal menepati ekspetasi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.