Tolong Hantar Pengadil Pergi Kursus! – Christophe Gamel

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel jelas berang dengan kualiti pengadilan yang menyebabkan pasukannya tewas kepada Terengganu dalam aksi Liga Super pada Ahad lalu.

Sri Pahang tewas 1-2 menerusi jaringan Kpah Sherman dan penalti disempurnakan Faisal Halim pada lewat permainan, yang mana merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dan yang ketujuh secara keseluruhan dalam saingan musim ini.

Menurut Gamel, Terengganu tidak sepatutnya diberikan penalti pada minit ke-77 itu malah menyatakan tiada kesalahan yang dilakukan oleh penjaga gol, Mamadou Samassa ketika menyelamatkan sepakan pertama Faisal Halim sehingga ia perlu diambil semula.

“Saya tidak berapa gemar untuk menyebut tentang pengadilan, tapi kerap kali perkara sebegini terjadi kepada Sri Pahang, berkenaan penalti yang diberikan kepada TFC, bagi saya ianya tidak sepatutnya penalti dan Samassa juga tidak melakukan kesalahan.

“Sejujurnya saya lihat pengadil gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin, saya agak sedih kerana perlawanan yang bagus dirosakkan oleh seseorang yang berada di dalam padang. Seperti menjadi satu perkara biasa dalam Liga Malaysia.

“Ini adalah pertama kali pasukan yang saya bimbing menjadi mangsa pengadilan buruk sebanyak tiga kali dalam semusim. Nasib sama berlaku ketika bertemu Kedah yang mana dua gol kita tidak dikira dan begitu juga ketika menentang PJ City yang mana FAM sendiri akui pengadil buat silap. Kita rugi sembilan mata kerana pengadil.

“Saya hormat pada semua pengadil, namun saya fikir mereka yang tidak berkualiti perlu dihantar semula berkursus secara lebih mendalam,” kata Gamel.

Mengenai prestasi semasa pasukan, Gamel tidak mahu penyokong putus harapan kerana menurutnya perjalanan liga masih panjang dan belum terlewat untuk Sri Pahang bangkit dan memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Saya faham kekecewaan penyokong dengan prestasi terkini pasukan, tapi percayalah kami juga kecewa dengan apa yang dilalui. Semua pihak bermula dari pengurusan, barisan pemain dan kejurulatihan sedang berusaha melakukan yang terbaik, tiada siapa yang mahu pasukan mereka jatuh.

“Sejujurnya saya lihat banyak peningkatan dalam permainan, saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka kerana saya dapat lihat semangat dan keghairahan mereka di atas padang.

“Tetapi kita perlu untuk mengurangkan kesilapan, kita ketinggalan awal kerana satu kesilapan kecil, banyak kali saya tegaskan perkara ini. Pasukan lawan mengambil kesempatan dari kesilapan kita lakukan, kita juga tidak sempurnakan peluang, dan ini adalah perkara paling penting untuk kita baiki.  

“Masih belum terlambat untuk bangkit kerana perjalanan liga masih panjang, saya tahu, dan saya yakin dengan pemain-pemain boleh melakukan yang lebih baik dalam baki perlawanan sekiranya berusaha dengan lebih keras.

“Kita mempunyai satu skuad baik adunan pemain berpengalaman dan pemain muda yang semakin bertambah baik. Jangan putus harapan, kita belajar dari kesilapan dan perlu tampil lebih baik,” ujar Gamel.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.