Pengendali Sabah, Dato’ Ong Kim Swee meminta supaya penyokong pasukan itu menghentikan kritikan yang berterusan ditujukan kepada pemain import, Jose Embalo hyang tidak menampilkan prestasi sepertimana diharapkan setakat ini.
“Yang penting kita mendapatkan tiga mata, yang mana kita tahu ini bukan perlawanan yang mudah bagi kita dan juga pemain bermain dengan agak baik pada separuh masa kedua. Dengan satu gol pada separuh masa kedua, saya percaya itu mencukupi menjarakkan dengan pasukan lain.
“Prestasi Embalo sememangnya tidak memuaskan tapi pada masa sama, saya minta kerjasama semua pihak terutama para penyokong untuk terus memberi sokongan penuh.
“Kita tahu, apabila membawa pemain import, sudah tentu kita inginkan yang terbaik, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh meletakkan tekanan yang tinggi.
“Pemain adalah manusia biasa dan ia bukan mudah untuk mengawal perasaan ketika bermain apabila mendapat tekanan seperti mana beliau hadapi ketika ini.
“Pada masa sama, saya juga tidak menyalahkan sesiapa. Jadi kita harus kekal fokus dan semua penyokong serta pegawai-pegawai tertentu harus menyokong pasukan dan bukan menimbulkan masalah,” kata Kim Swee selepas perlawanan menentang Sarawak United.
Tambah beliau lagi, “Bukan sebab seseorang kita tewas ataupun menang. Namun kita perlu memikirkan satu cara terbaik dan tidak akan mensia-siakan sesiapa serta memberi peluang demi peluang.”
Sabah mengukuhkan cengkaman di kedudukan setelah menewaskan Sarawak United 1-0 menerusi jaringan tunggal Baddrol Bakhtiar di separuh masa kedua.
Ini membolehkan mereka terus menghimpit kedudukan JDT di tangga teratas, dengan beza hanya satu mata namun sudah bermain lebih dua perlawanan.