“Tolonglah jangan panggil dah Liridon Krasniqi, buruk sangat mainan”

Program naturalisasi
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berharap tiada lagi nama Liridon Krasniqi dalam senarai panggilan skuad kebangsaan yang seterusnya, susulan prestasi buruknya ketika saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Berdasarkan penilaian peribadi Serbegeth atau sinonim dengan panggilan Shebby, Liridon Krasniqi mendapat rating paling buruk dalam kalangan semua pemain yang diturunkan Tan Cheng Hoe sepanjang tiga perlawanan terakhir yang berlangsung di Dubai.

“Dalam perlawanan pertama (menentang UAE) apabila diturunkan dia hancur di bahagian tengah dan tak memahami taktikal dan disiplin. Bila dia tak diturunkan dalam kesebelasan utama dua perlawanan berikutnya (menentang Vietnam dan Thailand), kita dah tahu macam mana teruknya dia bermain.

“Pada pendapat saya, pemain tempatan dan kacukan atau warisan menunjukkan prestasi yang diyakini dan sangat baik sekali. Tetapi tidak buat tiga pemain naturalisasi yang sepatutnya merekalah beraksi lebih baik daripada pemain tempatan,” katanya kepada Arena Metro. 

Sebagai rekod, Liridon Krasniqi mendapat taraf naturalisasi pada tahun lalu dan meraih kap sulung bersama Harimau Malaya ketika tewas kepada Bahrain dalam aksi persahabatan.

Malah dia juga menyumbang kepada terhasilnya gol kedua Bahrain pada perlawanan itu apabila hantaran ke belakangnya yang terlalu kuat gagal ditampan kemas Farizal Marlias.

Sementara itu, Shebby yang menyarung jersi negara sekitar pertengahan 80-an memilih Syafiq Ahmad pemain Harimau Malaya paling terbaik dan efektif, menyifatkan pemain itu menunjukkan semangat juang tinggi selain memahami tugas serta tanggungjawab di atas padang.

Syafiq Ahmad diturunkan sebagai pemain gantian pada perlawanan menentang UAE dan Thailand, manakala ketika menentang Vietnam dia bermain dalam kesebelasan utama namun tidak beraksi penuh 90 minit.

“Maksud saya, apabila Tan Cheng Hoe (jurulatih) masukkan dia sebagai pemain gantian di bahagian serangan, dia boleh main dengan baik di bahagian atas, manakala ketika diturunkan di posisi tengah pula, dia juga tahu dan faham taktikal yang digunakan.

“Malah, beberapa gerakan dan gol yang terhasil ketika menentang Thailand juga adalah daripada gerakan Syafiq yang kerap menyediakan peluang dan cipta gerakan untuk rakan lain,” ujar Shebby yang pernah menjawat jawatan penasihat global Blackburn Rovers di England pada 2012.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.