Transformasi Mahalli Jasuli, dari pertahanan kini penyerang utama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Siapa sangka, dari seorang pemain yang banyak beraksi di posisi pertahanan atau sayap kanan, Mahalli Jasuli akan beraksi sebagai penyerang utama bersama PJ City pada musim ini.

Semuanya gara-gara kecederaan dialami Darren Lok membuatkan ketua jurulatih, P.Maniam, mengambil keputusan berani mempertaruhkan Mahalli mengetuai jentera serangan biarpun punyai pilihan lain seperti Kogileswaran Raj dan Khyril Muhymeen.

Maniam bagaimanapun mengetahui kredibiliti Mahalli yang pernah beraksi di posisi penyerang semasa dia bergelar jurulatih Piala Belia Selangor.

Bagi Mahalli, pengalaman beraksi semula sebagai penyerang memberikan satu dimensi berbeza buatnya namun dia gembira peluang diberikan Maniam kerana ia seperti memberikan nafas baharu dalam kariernya.

“Selepas kecederaan Darren, jurulatih ada berjumpa dengan saya secara peribadi dan bertanyakan jika saya boleh bermain sebagai penyerang, secara jujurnya saya memang terkejut.

“Namun, saya beritahu jurulatih yang saya akan cuba perlahan-lahan dalam kembali mendapatkan rentak serta cuba berada dengan tahap yang sama seperti penyerang-penyerang lain di Liga Super.

“Jurulatih berani memberikan saya peluang bermain sebagai penyerang kerana dia tahu saya pernah beraksi ketika di bawah kendaliannya semasa Piala Belia.

“Bermain formasi 3-4-3, saya ini umpama penyerang tunggal dan agak sukar tugas saya kerana berseorangan di atas, ini memang satu pengalaman baharu kepada saya,” katanya.

Diturunkan dalam sebelas perlawanan (sembilan perlawanan sebagai penyerang), bekas pemain Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC belum berjaya menjaringkan gol namun telah melakukan dua assist setakat ini.

Pemain berusia 32 tahun itu dijangka akan terus menjadi pertaruhan jika Darren masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami ketika menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi keempat Liga Super.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana percaya serta kemampuan, dorongan yang telah dia berikan buatkan saya kini mampu beraksi konsisten dalam liga.

“PJ City adalah pasukan paling sesuai dengan saya dan langkah mereka menggunakan semua pemain tempatan, membuka ruang lebih banyak kepada pemain seperti saya untuk bermain.

“Menjelang baki saingan Liga Super, kami kena bekerja lebih berpasukan memandangkan semua lawan sudah mengkaji kekuatan serta kelemahan PJ City.

“Keputusan jurulatih untuk tidak menambah pemain baharu menunjukkan yang dia positif dengan kemampuan pemain sedia ada dan sekarang tugas kami sebagai pemain kena buat yang terbaik serta balas kepercayaannya,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.