Transisi Menakjubkan Sharul Nazeem, Dari Ping Pong Kini Antara Pertahanan Terbaik Liga Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar antara nama baru disenaraikan Tan Cheng Hoe untuk mengharungi kalendar antarabangsa pada Oktober menentang Jordan dan Uzbekistan.

Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu pemain yang mencuri tumpuan dengan rambut afro ini membuat keputusan beralih fokus dari ping pong ke bola sepak hanya pada usia 17 tahun.

Malah, dia hanya memilih bermain di liga sosial sahaja bagi mengembangkan bakatnya sebelum dilamar pengurusan Selangor untuk beraksi dengan skuad Piala Belia pada 2018.

Segala-galanya berlalu pantas buat Sharul Nazeem yang semakin menyerlah apabila mewarnai Selangor II pada musim lalu sebelum akhirnya diberi kepercayaan diletakkan selaku pertahanan tengah utama pada saingan Liga Super 2021.

“Dahulu masa sekolah, ada main bola tetapi tidak berapa minat sangat selain faktor ibu juga yang hanya membenarkan saya terbabit dengan sukan ‘indoor’ dan sebab itu saya memilih ping pong, dari sekolah rendah sampai Tingkatan 5.

“Saya pernah menjalani pemilihan ke MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) bagi mewakili Selangor semasa di darjah 6 dan pada masa itu, saya seorang sahaja berbangsa Melayu manakala yang lain dari bangsa Cina namun tidak terpilih.

“Minat ini diteruskan sehingga Tingkatan 5 di sekolah menengah, sebelum satu hari saya buat keputusan untuk mencuba nasib bermain bola sepak dengan memberitahu kakak dan Cheras (Prefer FC) yang bermain di Liga Bolasepak Rakyat (LBR) adalah pasukan pertama yang saya beraksi.

“Dari situ, perlahan-lahan saya mencari pengalaman lain dengan bermain bersama Marcerra United di Liga Kuala Lumpur dan kelab NPNG di Liga Selangor, pada tahun yang sama.

“Tahun berikutnya saya mendapat tawaran dari Selangor dan perasaannya pada masa itu tidak dapat digambarkan kerana terlalu gembira, bayangkan daripada liga sosial sahaja, saya dapat mewakili pasukan negeri dan rezeki memang tidak pernah salah alamat,” katanya.

Antara pencapaian tertinggi Sharul Nazeem sepanjang bermain ping pong ialah muncul Naib Johan di peringkat negeri dalam kejohanan Majlis Sukan Selangor (MSSS) pada tahun 2015.

Sharul Nazeem yang berusia 22 tahun mula diberi kepercayaan apabila pemain dari Jerman, Tim Heubach mengalami kecederaan pada perlawanan ketujuh Liga Super ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan selepas itu melekat di dalam kesebelasan utama.

Dia sebelum ini adalah ketua pasukan di Selangor II dan bermain dalam semua perlawanan di Liga Perdana dengan rekod 985 minit permainan.

Jelas pemain yang meminati dua pemain antarabangsa Brazil, David Luiz dan Marcelo, dia gembira peluang diberikan oleh Selangor yang memberikan kepercayaan kepada ramai pemain muda.

Selain dirinya, Selangor turut memberikan peluang kepada pemain seperti Aliff Haiqal, Danial Asri dan Zikri Khalili beraksi dalam kesebelasan utama pada kebanyakan perlawanan musim ini.

“Harapan untuk jangka masa panjang sudah tentu mahu membawa Selangor bermain di peringkat tertinggi seperti ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan Piala AFC dan sudah tentu kita kena bekerja lebih keras pada tahun mendatang.

“Peluang yang diberikan Selangor untuk saya dan rakan-rakan tunjukkan bakat tidak akan disia-siakan dengan cuba memberikan prestasi baik dalam tiap perlawanan,” katanya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.