Tuah milik Rajagobal kerana Pahang enggan lepaskan Dollah Salleh last-minute

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Datuk K.Rajagobal mencipta sejarah sebagai satu-satunya jurulatih yang pernah membawa Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Tetapi ada kisah yang tidak ramai tahu mengenai pelantikan beliau menggantikan B.Sathianathan pada April 2009.

Rajagobal sebenarnya langsung bukan pilihan untuk menduduki kerusi panas ketua jurulatih pasukan kebangsaan ketika itu, memandangkan beliau mempunyai komitmen bersama pasukan B-19 kebangsaan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Jadi siapakah sebenarnya pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia?

Selepas Sathianathan meletak jawatan pada 1 Februari 2009, posisi tersebut kosong selama lebih dua bulan dan dalam tempoh itu beberapa nama telah dikaitkan.

FAM telah menyenaraipendek tiga nama, dengan media difahamkan tiga nama itu adalah Azraai Khor Abdullah (Kedah), K.Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda).

Selepas menilai secara terperinci calon yang paling layak, ketua jurulatih baru telahpun dimuktamadkan dan pengumuman mengenainya dimaklumkan akan dibuat pada 11 April 2009, selepas Mesyuarat Anggota Majlis FAM dipengerusikan oleh (Almarhum) Sultan Haji Ahmad Shah.

Tetapi mengejutkan pada 11 April, tarikh yang ditunggu-tunggu, Timbalan Presiden FAM ketika itu, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad memberitahu dalam sidang media bahawa pengumuman rasmi mengenai  siapa ketua jurulatih kebangsaan yang baru tidak dapat dibuat kerana ada masalah berbangkit dan beberapa perkara perlu diselaraskan terlebih dahulu kerana majikan jurulatih terbabit tiba-tiba tidak mahu melepaskannya.

FAM pada hari tersebut bagaimanapun mengumumkan Rajagobal dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan dengan tugasan utama adalah Pestabola Merdeka dan Sukan SEA Laos 2009 dan beliau akan dibantu Tan Cheng Hoe, dalam masa sama Rajagobal kekal sebagai jurulatih skuad B-19.

Berbalik kepada skuad senior kebangsaan, siapakah jurulatih yang tidak mendapat pelepasan majikannya itu? Ianya adalah Dollah Salleh. FAM sebenarnya telah memilih Dollah Salleh untuk menggantikan Sathianathan, ianya diakui Dollah Salleh sendiri. Apa yang berlaku?

“Ketika itu bersama Shahzan Muda, FAM telah menghubungi saya menawarkan jawatan ketua jurulatih, saya bersetuju dan menerima tawaran itu, kiranya tunggu nak sign kontrak namun sehari sebelum pengumuman rasmi dibuat (10 April), Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang Tengku Abdul Rahman telah menelefon Presiden FAM mengatakan PBNP masih memerlukan khidmat saya.

“Inilah yang menyebabkan pengumuman tidak dapat dibuat pada 11 April dan ditangguh selama kira-kira 10 hari dan kemudian tanpa disangka (Datuk) K.Rajagobal dilantik mengisi kerusi panas itu mengetepikan Azraai dan Devan. Dua minggu selepas itu kejutan buat saya apabila dilantik sebagai jurulatih Pahang menggantikan Tajuddin Nor,” ujar Dollah.

Rajagobal diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada 20 April selepas mendapat restu Sultan Ahmad Shah, dan bermulalah sebuah perjalanan penuh bersejarah. Selepas membimbing pasukan B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA sekaligus menoktahkan penantian 20 tahun, Rajagobal selepas itu merekrut beberapa pemain tonggak dari skuad emasnya itu ke dalam skuad senior kebangsaan.

Tuah terus menyebelahinya apabila berjaya membimbing Malaysia mencipta sejarah gemilang menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara aggregat dan kejayaan itu menyaksikannya dianugerahkan Darjah Kebesaran Persekutuan iaitu Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 5 Jun 2011.

Foto : Asean Football.org

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.