Tuan Kamree, anak peladang yang mencipta nama sebagai pemain serba boleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tuan Kamree Tuan Yahya, boleh dikatakan salah seorang pemain berkaki kidal terbaik pernah disaksikan dalam arena bolasepak Kelantan pada tahun 90-an.

Pemain versatile yang boleh beraksi sebagai pemain tengah, playmaker, bek kiri, sayap kiri malah pernah juga berfungsi sebagai penyerang.

Begitupun Tuan Kamree sebenarnya tidak pernah langsung menyangka dia boleh menempa nama sebagai pemain bolasepak yang hebat sehingga pernah dipanggil mewakili pasukan Olimpik Malaysia kendalian Claude Le Roy pada 1993 dan 1994.

olimpik 94 Tuan Kamree, anak peladang yang mencipta nama sebagai pemain serba boleh

Mengimbau perjalanan karier pemain ini, tahun 1993 sangat bertuah baginya apabila diberi peluang mengisi kesebelasan utama skuad semi-pro Kelantan dan bermula dari situlah bakatnya sebagai pemain serba boleh makin menyerlah dan menonjol.

“Pada mulanya saya tidak mempunyai cita-cita untuk maju dalam bidang bola sepak ini. Saya lebih suka menolong ayah menanam tembakau berhampiran rumah saya di Beris Kubu Besar, Bachok,” katanya.

Itulah hakikatnya, kerana masa yang terluang ketika itu dihabiskan di kawasan tanaman tembakau tempat ayahnya mencari sesuap nasi dan atas rasa tanggungjawab membantu keluarga, dia lebih suka membantu ayahnya menambah pendapatan.

“Saya memang berminat bermain bola sepak ketika di alam persekolahan lagi tapi cita-cita itu saya pendamkan saja demi untuk membantu keluarga mencari rezeki dengan menanam tembakau.

Diketengahkan Karathu

“Selepas dipilih menyertai Akademi Bola Sepak di Kuantan, Pahang bawah bimbingan M.Karathu, minat saya datang semula untuk menjadi pemain bola sepak,” tambahnya.

Selepas dua tahun (1991-92) di akademi itu, Tuan Kamree kembali ke Kelantan untuk mewakili negeri kelahirannya itu di Piala Emas Raja-Raja (PERR) 1993.

Apabila Karathu dilantik sebagai jurulatih skuad semi-pro Kelantan 1993, kelibat Tuan Kamree di PERR berjaya mencuri tumpuan pengendali itu dan dia disenaraikan ke dalam skuad Liga Perdana.

Selain itu, pada tahun sama Tuan Kamree turut diberi mandat untuk menjadi ketua pasukan Piala Presiden Kelantan.

“Selepas itu saya mendapat bimbingan semula daripada Karathu dan sekaligus menjadi nadi utama skuad semi-pro Kelantan, sehingga kami melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia.

Dalam satu laporan akhbar NSTP pada November 1993, peranan dimainkan Tuan Kamree mendapat pujian daripada pelbagai pihak, terutama Karathu dan dua penolong jurulatih, Irfan Bakti dan Hamid Ramli serta penyokong, kerana keberaniannya serta bijak mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.

“Nasihat yang diberikan oleh semua pemain senior yang saya anggap sebagai abang-abang saya belaka, seperti Hashim Mustapha, Zahasmi Ismail dan Zulkifli Abdullah, menjadi perangsang kepada saya untuk terus berjaya dalam bidang ini.

“Selepas mendapat peluang mewakili skuad Kelantan, saya tidak mahu lagi membiarkan peluang seumpama ini terlepas lagi, kerana ia bukan mudah diperolehi.

“Saya akan cuba beraksi lebih cemerlang dan akan tetap membantu Kelantan serta menaikkan nama tempat tumpah darah saya ini sebagai sebuah negeri yang mempunyai skuad bola sepak handal,” kata Tuan Kamree dalam laporan tersebut.

Mula berkelana, berkecil hati dengan jurulatih Pahang

Setelah tiga musim bersama Kelantan, Tuan Kamree berhijrah ke Perak pada 1996 sebelum kembali menyarung jersi Kelantan pada 1997 dan 1998.

Dia kemudian berpindah ke Negeri Sembilan pada 1999 dan menyertai Pahang pada tahun 2000.

Bagaimanapun, Tuan Kamree membuat keputusan meninggalkan Tok Gajah ketika skuad masih dalam persiapan pra-musim, iaitu sejurus sebelum mereka berlepas ke Brunei untuk menyertai Piala Jemputan NBT Toyota.

Dia sebelum itu sempat bermain pada Kejohanan Empat Penjuru di Kota Bharu yang menyaksikan Pahang berkesudahan di tangga tercorot di belakang Pulau Pinang, Terengganu dan JKR Kelantan.

”Kamree berkecil hati dengan teguran jurulatih Fuzzeimi Ibrahim walaupun ia adalah untuk kebaikannya sendiri sebagai pemain profesional.

”Pengurusan pasukan cuma mahukan dia memperbaiki prestasinya tapi dia tidak boleh terima. Jadi saya katakan kepadanya, jika begitu lebih baik dia tinggalkan saja Pahang,” jelas  Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pahang ketika itu, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Tuan Kamree bernasib baik tidak dikenakan tindakan oleh PBNP dan kembali ke Kelantan untuk membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana Dua. Pada 2001 dia membantu Kelantan kendalian K.Rajagobal, menduduki tangga ketiga Liga Perdana Satu dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Kelantan 2001 Tuan Kamree, anak peladang yang mencipta nama sebagai pemain serba boleh

Bagaimanapun pada tahun berikutnya, satu lagi episod malang dalam karier Tuan Kamree, apabila kontraknya ditamatkan serta merta pada 1 Ogos 2002 oleh KAFA berikutan tindakannya membawa isu tunggakan gaji dan beberapa perkara lain ke pengetahuan FAM.

Bukan itu sahaja, KAFA kemudian mengenakan hukuman penggantungan enam bulan ke atasnya bermula 24 September 2002.

Dia menyertai Johor FC pada 2003, dan pengantungan enam bulannya terbatal pada bulan Februari selepas liga berlangsung satu perlawanan setelah pasukan barunya itu mengemukakan bantahan kepada FAM dengan mempersoalkan bagaimana seorang pemain yang telah ditamatkan kontrak boleh dijatuhkan satu lagi hukuman.

Dia membantu Johor FC menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Satu dan layak ke suku akhir Piala FA.

#LabolaMalaya #TuanKamree #TK13

Rujukan : NSTP; Foto : kelate.net

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.