Tuchel tegaskan menang EPL tidak realistik, Redknapp ‘tembak’ pengurus itu tidaklah hebat mana

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus baru Chelsea, Thomas Tuchel menegaskan sasaran untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini adalah sesuatu yang sangat tidak realistik.

Tuchel yang menggantikan Frank Lampard awal minggu ini, mengendalikan perlawanan EPL pertamanya pada Khamis yang berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 menentang Wolverhampton Wanderers dan pengurus dari Jerman itu berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan Chelsea kembali menunjukkan potensi sebenar mereka secepat mungkin.

“Memenangi gelaran liga? Wow, saya tidak rasa ia sesuatu yang mungkin, kita perlu realistik.

“Ya apabila anda menyertai Chelsea sebagai seorang pemain mahupun pengurus, anda diletakkan ekspetasi untuk membantu pasukan ini mencabar kejuaraan, tidak kira ianya kejuaraan liga, Liga Juara Eropah, atau piala-piala lain.

“Tetapi pada masa sama, kita kena lah realistik, berpijak pada bumi nyata, ada banyak pasukan di antara kami dan juga tangga keempat, banyak mata membezakan. Jadi mungkin apa yang paling baik pada waktu ini, bagi saya yang masuk pada pertengahan musim, memastikan pasukan tidak kehilangan fokus gara-gara mahu meletakkan sasaran yang terlalu jauh ke depan.

“Teruskan sahaja rutin harian dengan berikan lebih penelitian, fokus pada kemajuan dalam permainan dan tidak mencicirkan mata. Kita ada kapasiti untuk menewaskan sesiapa sahaja dalam mana-mana pertandingan, ia menjadi tanggungjawab saya untuk membawa Chelsea kembali kepada tahap yang sepatutnya secepat mungkin,” kata Tuchel.

Satu mata yang diraih menentang Wolves menyaksikan Chelsea kini berkongsi 30 mata dengan Arsenal dan menduduki tangga kelapan menerusi beza jaringan.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman luas yang pernah mengendalikan beberapa pasukan EPL seperti West Ham, Portsmouth dan Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp pula tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa Tuchel adalah seorang pengurus yang bagus.

Redknapp yang juga bapa saudara Lampard berkata, “Mereka membawa masuk pengurus baru sekali lagi, saya dengar orang kata dia pengurus yang hebat, hebat yang macam mana? Memenangi gelaran Liga bersama PSG (Paris Saint Germain) di Perancis tidak menjadikan awak seorang yang hebat.

“Apa yang dia berjaya buktikan? Kalau letak siapapun sebagai pengurus PSG di Liga Perancis memanglah boleh menang, hanya masa akan memberitahu kita sejauh mana bagusnya dia.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.